Pekerja ladang didenda RM6,000 langgar anggota polis
Akibat melanggar seorang anggota polis dengan kereta, seorang pekerja ladang didenda RM6,000 atau bulan penjara oleh Mahkamah Sesyen di Serdang hari ini.
Hakim Norshila Kamaruddin menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Sofi Abd Rahman, 30, selepas dia mengaku bersalah atas tuduhan pilihan dengan menggunakan kekerasan jenayah bagi menghalang anggota polis, Konstabel Abdul Rahim Abdul Rahman, menjalankan tugasnya.
Tertuduh didakwa melanggar motosikal mangsa yang ketika itu melakukan rondaan cegah jenayah di Jalan Besar, Taman Serdang Utama, Seri Kembangan, Selangor, pada jam 1 tengah hari 15 Ogos, tahun lalu
Mengikut fakta kes, tertuduh telah dilihat dalam keadaan mencurigakan oleh anggota tersebut ketika beliau sedang melakukan rondaan di sekitar kawasan Serdang.
Mangsa kemudian mendekati tertuduh sambil menunjukkan kad kuasa polis namun tertuduh bertindak agresif dan masuk ke dalam keretanya sebelum memecut untuk melarikan diri.
Tertuduh telah membuat pusingan U dan melanggar motosikal yang dinaiki mangsa sebanyak dua kali sebelum mangsa melepaskan satu tembakan ke arah tayar kereta yang dinaiki tertuduh dan dia berjaya ditangkap.
Dia didakwa mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nor Baizura Mohamad Soubian memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berbentuk pengajaran terhadap tertuduh mengambil kira faktor kesalahan yang dilakukan adalah sangat serius.
"Tertuduh sudah cukup bernasib baik kerana ditawarkan pertuduhan pilihan yang jauh lebih rendah dari pertuduhan asal iaitu Seksyen 307 Kanun Keseksaan (pertuduhan cubaan membunuh yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun jika sabit kesalahan,” katanya.
Bagaimanapun, tertuduh, yang diwakili peguam Dinesh Ramachandran memohon hukuman berbentuk denda minimum atas alasan anak guamnya telah insaf selain mempunyai empat anak serta isteri yang perlu ditanggung.
- Bernama

