Anggota Parlimen Semberong, Hishammuddin Hussein cuba mendapatkan "talian hayat politik" apabila menyatakan kemungkinan memberi sokongan kepada kepimpinan perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, kata Ketua Penerangan PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin.

“Kenyataan bekas Naib Presiden Umno itu dilihat sebagai salah satu percubaan meraih talian hayat politik beliau, kononnya wujud desas-desus gerakan dalaman untuk jatuhkan PM," kata Shamsul dalam sidang media di lobi parlimen hari ini.

Bagaimanapun, Shamsul tidak menjelaskan lebih lanjut 'talian hayat' bagaimana yang dimaksudkannya.

Katanya, kenyataan HIshammuddin itu juga merupakan "helah politik" menjelang pilihan raya kecil (PRK) DUN Rantau yang ditandingi pemangku presiden Umno Mohamad Hasan.

“Bukanlah suatu yang sukar dibaca suara beliau (Hishammuddin) langsung tidak didengari dalam siri-siri PRK sebelum ini,” kata timbalan menteri industri utama itu.

Selasa lalu, Hishamuddin menyatakan akan memberi sokongan penuh kepada Mahathir sekiranya pemimpin PH terus melakukan kritikan terbuka terhadap perdana menteri itu.

Bagaimanapun Ketua Pembangkang Ismail Sabri Yaakob semalam berkata, keputusan BN untuk menyokong Mahathir atau sebaliknya hanya boleh diputuskan dalam melalui Majlis Tertinggi parti.

Mengulas lanjut, Shamsul berkata umum mengetahui kepimpinan PH secara jelas menyokong Mahathir tanpa berbelah bahagi.

“Melalui penegasan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim komited untuk bekerjasama dengan Tun Mahathir dalam mengembalikan Malaysia ke landasan sebenar.

“Justeru usaha mengganggu gugat kesefahaman ini usaha sia-sia dan saya menyarankan Hishammuddin bermuhasabah dan meneliti kapasiti beliau dalam Umno dan tidak keterlaluan dalam membina semula parti beliau,” katanya.