Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Selepas mendapat bantahan banyak pihak berhubung kedudukannya sebagai pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Awam Negara (PAC), Ronald Kiandee hari ini memutuskan untuk tidak memegang sebarang jawatan dalam jawatankuasa itu.

Tegas Ronald, ia sekali gus menjawab persoalan sama ada beliau akan menjadi anggota jawatankuasa itu atau tidak.

Katanya, anggota PAC akan ditentukan oleh jawatankuasa pemilihan yang dipengerusikan oleh Yang Dipertuan Dewan Rakyat, Mohamad Ariff Md Yusof.

“Takkan saya duduk lagi dalam PAC. Menggantikan pengerusi, maknanya saya keluar daripada PAC. Sangat jelas di situ.

“Takkan saya nak jadi ahli kot, tak payah,” katanya kepada pemberita di Parlimen, hari ini.

Mengikut Aturan Urusan Mesyuarat (AUN) Dewan Rakyat hari ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) akan membawa usul agar Anggota Parlimen Parit Sulong, Datuk Dr. Noraini Ahmad menggantikan Ronald.

Kiandee pada Ogos tahun lalu dilantik sebagai wakil pembangkang untuk menjadi pengerusi PAC.

Bagaimanapun, pada Mac tahun ini beliau keluar Umno untuk menyertai Bersatu yang menjadi sebahagian daripada gabungan parti pemerintah.

Dr Mahathir yang juga pengerusi Bersatu pada awalnya meminta Kiandee kekal menjadi pengerusi PAC tetapi kemudian menukar fikirannya selepas mendapat bantahan daripada wakil rakyat Pakatan Harapan (PH).

Ini kerana PH dalam manifesto pilihan rayanya sebelum  ini berjanji jawatan pengerusi PAC akan diperuntukkan kepada MP pembangkang demi kepentingan semak dan imbang.

Usul dibentang minggu depan

Sementara itu, Ronald yang juga Anggota Parlimen Beluran berkata, usul menggantikannya itu dijangka dibentangkan minggu depan.

Kata beliau, sepanjang mempengerusikan PAC sebanyak 30 mesyuarat telah diadakan dan mengendalikan tujuh isu.

“Sepanjang menjadi Pengerusi, saya pastikan mereka tidak mewakili parti tapi Parlimen.

"Tiada isu memihak atau memangsakan mana-mana pihak, kita lakukan siasatan dengan adil dan mengikut fakta,” katanya. 

Lihat Komen
ADS