Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pengerusi SPR mohon maaf kepada pengundi Kelantan
Diterbitkan:  Apr 5, 2019 4:05 PM
Dikemaskini: 8:36 AM

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun mohon maaf kepada pengundi Kelantan berhubung kenyataannya mengenai isu yang melibatkan pengundi luar negeri itu.

Meskipun tidak menghuraikan secara terperinci perkara itu, namun ia dipercayai berhubung kenyataannya yang melabel orang Kelantan di Kuala Lumpur sebagai 'kaki kelab malam.'

Kenyataan itu sebelum ini mendapat respons daripada Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob yang menyifatkan ia sebagai satu bentuk penghinaan kepada seluruh rakyat negeri berkenaan.

“Saya selaku pengerusi SPR, dengan rendah diri memohon maaf kepada pengundi negeri Kelantan berhubung kenyataan yang disiarkan oleh pihak media berkaitan dengan isu melibatkan 'pengundi di luar negeri Kelantan.

"Selaku pengerusi SPR, saya akan memberikan perkhidmatan mengikut peruntukan undang-undang bagi memastikan urusan pilihan raya dilaksanakan dengan bersih, telus, adil dan berintegriti," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azhar pada akhir bulan lalu dilaporkan sebagai berkata, pelaksanaan bagi pendaftaran pengudi secara automatik pada pilihan raya akan datang sukar dilaksanakan kerana Perlembagaan Persekutuan membenarkan seseorang mengundi di tempat pada awal dia mendaftar sebagai pengundi walaupun mungkin tinggal di tempat lain.

Beliau berkata, disebabkan perkara itu, seramai 60,000 orang Kelantan balik ke negeri ini untuk menyokong hudud, sedangkan pada masa lain mereka berada di Kuala Lumpur dan pergi ke kelab malam.

Lihat Komen
ADS