Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tertuduh didakwa hina Islam dakwa kena serang di penjara
Diterbitkan:  Apr 5, 2019 4:57 PM
Dikemaskini: 9:04 AM

Dua tertuduh, Wai Foo Sing dan Chow Mun Fai, yang berada dalam tahanan sementara berdepan dengan dakwaan menghina agama Islam di media sosial, mendakwa bahawa mereka diserang di penjara.

Portal Free Malaysia Today melaporkan Wai mendakwa dia dipukul semasa di penjara Sungai Buloh, tempat dia ditahan selepas gagal membayar wang jaminan.

Lelaki berusia 68 tahun itu mengaku tidak bersalah pada 27 Feb lalu terhadap dua tuduhan mengikut Seksyen 298A (1) (a) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia atas dakwaan menghina Nabi Muhammad SAW serta memohon supaya dibicarakan.

Bagaimanapun, keluarganya hanya mampu membayar wang ikat jamin sebanyak RM20,000 pada 13 Mac.

Peguamnya, Gerald Lazarus, memberitahu Mahkamah Sesyen hari ini bahawa anak Wai membuat laporan polis berhubung serangan itu pada 15 Mac lalu, dan mereka mempunyai laporan perubatan bagi mengesahkan kecederaannya.

Perbicaraan ditetapkan pada 17 dan 18 Jun ini.

Lazarus juga memberitahu mahkamah bahawa mereka akan menghantar perwakilan kepada pihak pendakwaan untuk mendapatkan pertuduhan yang ringan untuk Wai, yang kini di bawah pemerhatian mental.

Di mahkamah yang sama, Chow juga mendakwa bahawa dia dipukul di penjara Sungai Buloh, dan kacamatanya pecah.

Chow berdepan dengan lapan tuduhan di bawah Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan iaitu cuba mendatangkan khianat awam dengan niat hendak mengapikan atau mungkin mengapikan mana-mana golongan atau kaum melakukan sesuatu kesalahan terhadap mana-mana golongan atau kaum lain.

Lazarus berkata beliau akan membantu Chow dan seorang lagi, Danny Anak Antoni, untuk mendapatkan perwakilan dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.

Danny menghadapi dua tuduhan menghina Nabi, Islam dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang di Facebooknya.

Mahkamah menetapkan 26 April untuk sebutan kes untuk Chow dan Danny.

[Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan mahkamah sesyen hari ini menetapkan 17 dan 18 Jun untuk perbicaraan kes seorang lelaki warga emas yang mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menghina Rasulullah, Nabi Muhammad SAW dan isteri baginda, Saidatina Aishah, dua bulan lepas.

Hakim MM Edwin Paramjothy menetapkan tarikh itu semasa sebutan kes berkenaan selepas dimaklum Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Asyaraf Md Kamal bahawa pihak pendakwaan dan pembelaan mewakili tertuduh, Wai Foo Sing bersedia untuk memulakan perbicaraan.

Pada 27 Februari lepas, tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memuat naik karikatur yang dikatakan menghina Nabi Muhammad SAW dan isteri baginda di Facebook miliknya atas nama Foo Sing Wai, pada 5 petang, 17 Februari lepas.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 298 A(1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun jika sabit kesalahan.

Terdahulu, peguam Gerard Lazarus memberitahu mahkamah pihaknya akan membuat representasi untuk memohon pertuduhan terhadap anak guamnya diringankan.

Gerard juga memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya telah membuat laporan polis mendakwa dia telah dipukul semasa berada dalam tahanan reman selama seminggu di Penjara Sungai Buloh selepas gagal membayar ikat jamin sebanyak RM20,000.

Katanya keluarga Wai membayar jaminan itu pada 13 Mac lepas.

Gerard berkata laporan polis dibuat oleh anak perempuan Wai, di Balai Polis Klang Selatan pada 15 Mac lepas.

Di mahkamah sama, hakim turut menetapkan 26 April untuk sebutan kes Chow Mun Fai, 43, dan Dannny Antoni, 28, bagi membolehkan kedua-duanya melantik peguam.

Chow menghadapi lapan pertuduhan, yakni satu pertuduhan membuat kenyataan yang mungkin mengapikan kaum melayu dengan kaum bukan melayu, dan tujuh pertuduhan memuat naik hantaran yang berkemungkinan menyebabkan suasana tidak harmoni antara penganut Islam dan bukan Islam antara 2.29 petang hingga 7.06 petang pada 2 Mac 2019.

Danny yang berasal dari Sarawak pula didakwa atas dua pertuduhan memuat naik satu hantaran menghina Nabi Muhammad SAW, agama Islam dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mungkin boleh menyebabkan suasana tidak harmoni antara penganut Islam dan bukan Islam menggunakan laman profil 'Danny A'antonio Jr' dengan pada 1.21 pagi, 9 Januari lalu.

Danny dan Chow masing-masing tidak dibenarkan ikat jamin

Lihat Komen
ADS