Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Badan bukan kerajaan (NGO), Sedar hari ini menjual pelekat karikatur dengan wajah empat menteri Kabinet berimejkan "badut" ketika sesi townhall bersama bekas perdana menteri Najib Razak dan pemimpin BN.

Presiden Sedar, Nazrin Noraini ketika memberitahu sekumpulan penyokong yang berkumpul di Dewan Merdeka di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) berkata pelekat itu diinspirasi daripada aktivis Fahmi Reza yang popular melakarkan karikatur Najib dengan imej sebegitu.

"Tetapi kita tak fokuskan pada seorang pemimpin (PH) saja. Kita akan lakukan (karikatur) 'badut' bagi semua pemimpin mereka!" kata Nazrin yang mengejek pemimpin yang ditampilkan dalam pelekat tersebut dengan mendakwa mereka mengeluarkan kenyataan liar dan tidak konsisten.

Empat menteri tersebut merupakan Menteri Kewangan Lim Guan Eng, Menteri Pendidikan Maszlee Malik, Menteri Industri Utama Teresa Kok dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof Rawa.

Karikatur badut yang menampilkan keempat-empat menteri itu berwarna hitam dan putih serta hidung dan mulut dengan warna merah.

Setiap imej pada pelekat itu turut disertakan dengan tanda pagar #apasudahjadi.

Meskipun Najib tidak lagi memegang sebarang jawatan dalam kerajaan atau Umno, Nazrin berkata Fahmi masih berterusan mempersendakan ahli Parlimen Pekan itu termasuk ketika sambutan April Fool.

"Kalau mereka pun boleh buat macam tu, kenapa kita tak boleh buat perkara yang sama? Dan kita boleh buat yang lebih baik daripada itu," katanya.

Pada Oktober lalu, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur melepas dan membebaskan Fahmi atas tuduhan memuat naik gambar palsu Najib di akaun Instagramnya pada dua tahun lalu.

Nazrin ketika ditemui di gerainya di luar dewan berkata, pelekat itu pertama kali dilancarkan minggu lalu. Ia dijual setiap satu atau satu set bagi rekaan empat pelekat itu untuk mengumpul dana bagi aktiviti mereka.

Sesi townhall "2019: Politik Malaysia Baru" yang dianjurkan NGO Benar Malaysia itu diadakan ketika Festival Buku Antarabangsa Kuala Lumpur sedang berlangsung di PWTC, di mana terletaknya ibu pejabat Umno.

Lihat Komen
ADS