Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MB Kelantan: Teliti sebab keseluruhan hibah TH rendah

Menteri Besar Kelantan, Ahmad Yakob meminta semua pihak supaya melihat konteks keseluruhan dalam isu yang membabitkan Tabung Haji (TH) bagi menepis pelbagai andaian.

Ketika ditanya mengenai dakwaan wujud usaha untuk menjatuhkan institusi kewangan Islam di Malaysia katanya, penjelasan yang terperinci perlu diberikan kepada rakyat.

"Itu kita kena lihat secara keseluruhan sebab-sebabnya.

"Itu saya kata kena diberi penjelasan yang terperinci kepada rakyat supaya tidak ada andaian-andaian sebegitu," katanya kepada media ketika hadir Seminar Hala Tuju Industri Mineral Kelantan, di Kompleks Kota Darulnaim di Kota Bharu, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu TH yang kini menjadi tumpuan rakyat selepas institusi kewangan itu mengumumkan hibah sebanyak 1.25 peratus kepada pencarumnya bagi tahun 2018.

Kadar hibah terendah dalam sejarah itu dilihat mewujudkan persepsi pelbagai pihak walaupun penjelasan demi penjelasan dibuat oleh menteri, pengurusan dan pakar kewangan Islam.

Terkilan, hiba rendah

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof, berkata kadar agihan hibah yang rendah itu disebabkan masalah peninggalan pentadbiran lalu yang kini dihadapi badan itu.

Katanya, pentadbiran lalu TH di bawah kerajaan BN telah membuat agihan dividen melanggar akta ditetapkan selama empat tahun berturut-turut. 

Pakar kewangan Dr Zaharuddin Abd Rahman pula memberi penjelasan terperinci susulan kadar hibah yang rendah itu diumumkan. 

Sementara itu, Ahmad yang juga timbalan mursyidul am PAS mengharapkan kerajaan dapat memberi penjelasan terperinci kepada rakyat mengenai kadar hibah yang rendah itu.

"Kita rasa terkilan dengan 1.25 peratus kadar hibah kepada rakyat sebab selama ini kita tidak pernah terima hibah yang serendah itu.

"Rakyat perlu diberi pendedahan yang sebaiknya supaya rakyat tahu. Sebab pencarum ada 9.3 juta, rakyat yang menyimpan dalam Tabung Haji. Mereka bukan sahaja tertanya-tanya tetapi juga rasa terkilan," ujarnya.

Lihat Komen
ADS