Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

PRK RANTAU | Presiden PKR, Anwar Ibrahim percaya timbalan presiden Umno, Mohamad Hasan tidak akan menjadi presiden parti Melayu itu.

"Orang tanya saya, macam mana nak lawan Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan. Dia ini sekarang pemangku presiden Umno. Saya tak fikir Mat Hasan akan jadi presiden.

"Itu telahan saya. Pemahaman politik saya. Saya dalam Umno pun lama. Saya (pernah jadi) timbalan presiden dan pemangku presiden (Umno)," katanya kepada pengundi DUN Rantau di Kampung Sega Hilir, Rantau hari ini.

Mohamad Hasan atau lebih mesra dipanggil Tok Mat merupakan calon BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Rantau yang dijadual pada 13 April ini.

Beliau memangku tugas sebagai presiden Umno daripada penyandangnya, Ahmad Zahid Hamidi yang bercuti pada Disember lalu berikutan kes yang dihadapinya di mahkamah.

Mohamad yang merupakan Adun selama tiga penggal di Rantau akan dicabar calon Pakatan Harapan (PH) Dr S Streram serta dua calon bebas dalam PRK Rantau.

Menurut Anwar, sehingga kini masih ramai orang Umno bertemu beliau untuk 'berunding' dengannya.

"Mereka pun fikir, kena baik-baik dengan Anwar, lepas ni Anwar jadi perdana menteri, dia pun nak beli insurans. 

"Kat bawah mereka kata ini itu keturunan Umno-PAS. Tapi senyap-senyap datang runding juga dengan aku," jelasnya.

Dakwa Riza berjudi RM50 juta satu malam

Terdahulu, Anwar yang juga Presiden PKR 'mengheret' nama Riza Aziz, anak tiri bekas perdana menteri Najib Abdul Razak selepas mendakwa Riza berjudi AS$12 juta dalam satu malam menggunakan duit 1MDB di salah sebuah kasino di Las Vegas, Amerika Syarikat.

Anwar turut mencabar Najib selaku bekas perdana menteri merangkap mantan pengerusi 1MDB untuk menjawab dakwaan tersebut.

"Saya baca laporan DoJ (Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat). Ada dakwaan Riza Aziz ini gunakan USD12 juta satu malam di Kasino Caesars Palace, Las Vegas.

"USD12 juta maknanya RM48 juta. Hampir 50 juta ringgit satu malam. Bila trace, trace, trace duit 1MDB. Tapi, dia (pemimpin BN) berceramah masih pertahan lagi. Ini rekod bank, baik kalau tak salah saman saja," cabar beliau.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson bagaimanapun menafikan beliau memfitnah Riza Aziz.

"Saya tak mahu fitnah, saya baca laporan ini. Bukan kita nak reka. Saya hanya ambil daripada report dan bagitahu. Kalau Najib jawab, jawablah," katanya lagi.

Ujarnya, laporan itu berserta dengan nama, kad pengenalan, hari bulan, waktu dan juga nombor akaun bank Riza.

"Riza Aziz ini saya selalu tak sebut. Lama tak sebut. Di PD (PRK Port Dickson) pun saya tak sebut. Saya nak sebut di sini sebab saya nak tengok kalau orang cuba nafi," jelasnya.

Lihat Komen
ADS