Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Abang Karuna Nithi berhimpun tuntut penubuhan IPCMC

Abang kepada mendiang P Karuna Nithi yang meninggal dunia dalam tahanan polis pada 2013, menyertai perhimpunan untuk mendesak penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) di luar bangunan Parlimen hari ini.

“Saya mahukan keadilan.

“Saya mahu tindakan diambil terhadap polis,” kata P Elam Sezhian kepada pemberita selepas berhimpun bersama kira-kira 50 peserta yang lain tengah hari tadi.

Dia merupakan salah seorang daripada 10 wakil Gabungan Tuntut IPCMC untuk menyerahkan memorandum tuntutan mereka di Parlimen tadi.

“Kita akan lihat sama ada mereka akan ambil tindakan atau tidak. Saya tak puas hati dengan kerajaan baru kerana mereka juga sama saja seperti kerajaan terdahulu.

“Mereka nak tunggu apa lagi? Sekarang kita tunggu dan lihat,” kata Elam Shezian apabila ditanyakan tentang harapannya terhadap penubuhan IPCMC dalam masa terdekat.

Mendiang P Karuna Nithi 

Wakil kumpulan peguam Lawyers for Liberty, Zaid Malek yang mengiringi Elam Shezian tadi berkata, penubuhan IPCMC akan dapat membantu menegakkan keadilan terhadap ahli keluarga mangsa yang mati dalam tahanan polis.

“Walaupun keputusan mahkamah menyebelahi dia (Elam Shezian), tiada tindakan diambil terhadap pihak polis setakat ini.

“Jadi dengan adanya IPCMC, keadilan dapat ditegakkan lebih cepat, tak payah tunggu sehingga enam tahun untuk mendapatkan keadilan,” kata Zaid.

Pada 28 Jan 2015, koroner Jagjit Singh di Mahkamah Koroner Seremban memutuskan kematian Karuna Nithi adalah akibat dipukul oleh polis dan tahanan lokap lain.

Keputusan itu dicabar oleh kerajaan namun dipertahankan oleh Mahkamah Tinggi Seremban pada 2017.

Selepas dua tahun, pada 21 Februari, Pejabat Peguam Negara (AGC) menarik balik permohonannya untuk menyemak keputusan Mahkamah Koroner Seremban itu di Mahkamah Rayuan, sekaligus mengekalkan keputusan inkues kematian Karuna Nithi.

Pada Mei 2013, Karuna Nithi direman di balai polis Tampin berikutan perbalahan dengan isterinya, dan kemudiannya ditahan di situ setelah ahli keluarganya tidak dapat menyediakan wang jaminan selepas pendakwaannya di mahkamah.

Jurutera itu ditemui mati dalam lokapnya di balai polis tersebut pada 1 Jun 2013, dan rakaman CCTV menunjukkan dia diserang oleh anggota polis dan tahanan sel yang lain.

Dia ditemui dengan 49 kecederaan, kebanyakannya lebam di seluruh badannya.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS