Demi keadilan MH17, siswa lancar petisyen sokong Statut Rom
Sekumpulan pelajar melancarkan petisyen dalam talian bagi menggesa kerajaan menimbang semula keputusan menarik diri daripada Statut Rome bagi menyertai Mahkamah Jenayah Antarabangsa.
Langkah itu, menurut mereka diambil demi menuntut keadilan buat mangsa nahas pesawat MH17 yang terhempas di Ukraine pada 2014.
Petisyen di laman change.org itu dimulakan oleh kumpulan mahasiswa sama yang bertanggungjawab mendedahkan rumusan eksekutif kertas kerja oleh empat ahli akademik yang dakwa mereka digunakan untuk meyakinkan Majlis Raja-raja agar menolak Statut Rome.
Siswa berkenaan ialah Asheeq Ali Sethi Alivi, Ainina Sofia Adnan, Nurhuda Ramli, Suhail Wan Azahar, Ahmad Taqiyuddin Shahriman, Wong Yan Ke, Chong Kar Yan, Nik Azura Nik Nasron dan Siti Nurizzah Mohd Tazali.
Petisyen penuntut universiti itu menyatakan Statut Rome diperlukan untuk membawa pihak yang bertanggungjawab menembak pesawat Malaysia Airlines itu ke muka pengadilan di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).
"Sehingga kini, ahli keluarga kesemua penumpang dan kru MH17 masih tidak mendapat keadilan. MH17 ditembak menggunakan peluru berpandu Rusia dan apabila Malaysia cuba untuk membawa masalah ini ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), ia telah di-veto dan ditendang keluar oleh kuasa besar di dunia, iaitu negara Rusia itu sendiri.
Peluru berpandu Rusia
“Jadi siapakah yang dapat memberi keadilan kepada kesemua 298 nyawa yang terkorban? [...] Jawapannya ialah ICC. Sudah lima tahun berlalu, mengapa penjenayah tersebut masih tidak dihadapkan ke ICC?
"Jawapannya adalah kerana Malaysia bukan negara anggota Perjanjian Statut Rom,” kata petisyen itu lagi.
MH17 terhempas akibat ditembak pada 17 Julai 2014 ketika merentasi wilayah timur Ukraine dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur. Semua 298 mangsa dalam pesawat itu terkorban.
Satu pasukan penyiasat yang diketuai Belanda merumuskan pesawat itu ditembak peluru berpandu Rusia dari unit ketenteraan Rusia.
Kerajaan Rusia menafikan mereka bertanggungjawab. Pada 2015, Rusia menggunakan kuasa vetonya di PBB untuk menyekat draf resolusi untuk menubuhkan satu tribunal antarabangsa.
Setakat 9.41 malam ini, petisyen yang ditujukan kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad itu telah mengumpul 3,911 tandatangan.

Petisyen tersebut turut menyatakan rakyat ‘tidak perlu takut’ Yang Di-Pertuan Agong akan dibawa ke ICC memandangkan Malaysia tiada sejarah jenayah kemanusiaan seperti pembunuhan dan kekejaman terhadap etnik Rohingya.
Petisyen itu menjelaskan lanjut, walaupun sekiranya kekejaman dan pembunuhan seperti itu terjadi di Malaysia, peranan Agong tetap tidak akan disentuh kerana mengikut Perlembagaan Persekutuan, tugas Agong dilaksanakan atas nasihat perdana menteri atau kabinet.
“Agong tidak diberi kuasa untuk mengisytihar perang. Kenapa perlu takut?
“Kami mendesak Majlis Raja Raja dan Kerajaan Malaysia untuk memberi laluan supaya Statut Rom dapat diratifikasikan oleh Malaysia. Kami juga mendesak kepada golongan tertentu yang berniat jahat untuk berhenti memanipulasikan sistem keadilan jenayah antarabangsa.
“Rakyat Malaysia (diminta) untuk bersama kami dalam perjuangan menegakkan keadilan untuk mangsa MH17 sebelum ramai lagi nyawa dianiaya dan dikorbankan,” kata petisyen itu lagi.
Malaysia pada awalnya menyertai Statut Rom tetapi kemudiannya menarik diri berikutan bantahan daripada beberapa pihak, termasuk kerabat diraja Johor yang mendakwa statut itu bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan kerana menyentuh kuasa raja-raja dan keistimewaan orang Melayu serta kemuliaan agama Islam di negara ini.
Putrajaya menjelaskan terdapat pihak tertentu sengaja memberikan tafsiran salah mengenai Statut Rom dengan memberikan pandangan tidak tepat.
Katanya, pihak tersebut sengaja memainkan emosi dengan menakut-nakutkan orang ramai sehingga menimbulkan kekeliruan dan salah faham demi mencapai matlamat politik dengan niat untuk menjatuhkan pentadbiran PH dan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri yang dipilih melalui proses demokrasi.

