Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Saifuddin: Ada pihak berniat politik di balik bantahan Statut Rome
Diterbitkan:  Apr 5, 2019 11:18 PM
Dikemaskini: 3:18 PM

Kerajaan berpendapat ada pihak tertentu sengaja memberikan tafsiran salah mengenai Statut Rome dengan memberikan pandangan tidak tepat.

Menteri Luar Saifuddin Abdullah berkata pihak terbabit sengaja memainkan emosi dengan menakut-nakutkan orang ramai sehingga menimbulkan kekeliruan.

Langkah itu kata Saifudin dibuat dengan tujuan mencapai matlamat politik mereka iaitu menjatuhkan kerajaan PH.

"Malangnya, ada pihak sengaja menyalah tafsir Statut Rome, termasuk soal merujuk isu berkenaan kepada Yang di-Pertuan Agong atau Majlis Raja-Raja dengan memberikan nasihat atau pendapat yang tidak tepat dan mengetepikan fakta dan hujah yang rasional.

"Pihak ini juga sengaja memainkan emosi dengan menakut-nakutkan orang ramai sehingga menimbulkan kekeliruan dan salah faham demi mencapai matlamat politik dengan niat untuk menjatuhkan pentadbiran PH dan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri yang dipilih melalui proses demokrasi," katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Siang tadi perdana menteri mengumumkan keputusan Putrajaya untuk menarik diri daripada menyertai Statut Rome Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) yang telah dimeterai negara.

Kata Mahathir langkah itu diambil selepas berlaku kekeliruan dari segi politik dalam kalangan masyarakat.

Tak tegur sepatah pun

Beliau juga menegaskan bahawa keputusan itu dibuat bukan disebabkan statut terbabit membahayakan negara.

"Kami menarik balik penyertaan dalam perjanjian itu kerana rakyat mudah terpesong dengan perasaan dan emosi," katanya.

Dalam penjelasannya lagi perdana menteri berkata ada sesetengah anggota kerabat diraja mungkin terlibat dalam usaha menentang kerajaan sekarang.

“Itulah motifnya. Tetapi disebabkan kekeliruan ini dan kekeliruan dalam kalangan raja-raja, kami membuat keputusan untuk tidak mengiktiraf statut berkenaan.

"Kami menarik diri bukan sebab Statut Rome membahayakan kami, sebaliknya disebabkan kekeliruan yang ditimbulkan oleh sesetengah orang, termasuk mereka yang bercita-cita politik.

"Kami tahu (perkara) ini,” katanya sambil menambah keputusan untuk menarik diri dicapai secara bersama dalam mesyuarat mingguan kabinet.

Perdana menteri juga berkata ada pihak yang cuba menggunakan isu Statut Rome itu untuk memburukkan kerajaan terutama menggambarkan beliau sebagai pengkhianat bangsa.

"Tak apalah, mereka dah label saya pengkhianat. Mereka pengkhianat besar.

“Masa Najib curi duit, jual tanah dan buat macam-macam, mereka tidak tegur satu patah pun. Mereka bersembunyi (dan) saya pun tak tahu di mana, tetapi mereka bimbang tindakan mungkin diambil ke atas mereka," katanya.


Baca Daulat Tuanku, kata TMJ


Menurut Saifuddin kabinet berpendapat langkah menyertai ICC adalah keputusan tepat kerana ia akan mengukuhkan komitmen negara untuk menegakkan keadilan di peringkat antarabangsa, selain memberi manfaat di dalam negara.

Katanya kekebalan Agong dan raja-raja juga terpelihara seperti termaktub dalam perlembagaan.

Anggota parlimen Indera Mahkota itu juga menegaskan langkah yang diambil Putrajaya sebelum ini juga mengikut prosedur yang betul walaupun ia tidak dibawa ke parlimen.

"Sejak dahulu lagi, terdapat lebih 100 triti dan konvensyen antarabangsa yang diratifikasi tanpa melalui proses parlimen.

"Perkara ini tidak perlu dirujuk kepada Yang di-Pertuan Agong atau Majlis Raja-Raja kerana tidak melibatkan perkara-perkara yang ditentukan oleh perlembagaan untuk dirujuk dan tiada pindaan perlembagaan diperlukan," katanya.

Pada masa sama kata Saifuddin kerajaan PH akan terus berpegang teguh kepada prinsip raja perpelembagaan dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.

Lihat Komen
ADS