Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Timbul masalah jika isu maritim, ruang udara tak diurus dengan baik'

Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong mengimbas kembali bagaimana beliau cuba "memperbaiki" hubungan dua hala dengan Malaysia.

Bercakap selepas pemukiman tahunan pemimpin Malaysia-Singapura hari ini, beliau berkata hubungan itu berisiko terjejas jika isu maritim dan ruang udara tidak dikendali dengan baik.

"Ini adalah isu-isu yang berterusan kerana sempadan maritim sentiasa ada.

"Kita akan sentiasa ada keperluan penerbangan awam (dan) kedua-dua negara juga ada keperluan untuk bersetuju dalam soal pengurusan ruang udara," katanya ketika ditanya tentang perkara itu dalam sidang media bersama Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, kedua-dua negara akan mendapat manfaat jika isu itu dapat dikendali dengan baik dan jika tidak, ia akan mencetuskan banyak masalah dan menjejaskan hubungan dua negara.

Katanya lagi, beliau sebelum ini bimbang hubungan negaranya dengan Malaysia "tidak berada di landasan yang betul".

"Itulah sebabnya saya menulis surat kepada Dr Mahathir pada Disember lalu dan meminta Timbalan Perdana Menteri (Singapura) Teo CHee Hean untuk berkunjung, bersama-sama Menteri Kewangan Heng Swe Keat.

"...Dan saya sangat gembira apabila Dr Mahathir setuju bertemu dengan mereka, mendengar pandangan mereka dan mengambil tindakan yang membolehkan menteri kami bertemu dengan menteri mereka untuk memperbaiki keadaan, dan membawa (kita) di mana kita berada hari ini," katanya lagi.

Sementara itu, Mahathir berkata hubungan dua hala Malaysia dan Singapura sentiasa dalam keadaan baik, walaupun dengan "masalah".

"Sekurang-kurangnya kita sentiasa berbincang. Dan bila kita ada masalah ada kala kita suarakan secara terbuka, ada juga secara tertutup.

"Apa yang kita tidak lakukan adalah berkonfrontasi atau malah memutuskan untuk menyelesaikan masalah melalui tindakan ganas seperti berperang dengan Singapura," katanya lagi.

[Berita lanjut menyusul]

Lihat Komen
ADS