Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sultan Johor dah teliti lama untuk tukar MB -TMJ
Diterbitkan:  Apr 9, 2019 3:01 PM
Dikemaskini: 8:20 AM

Putera Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim hari ini mengulas mengenai spekulasi bahawa Osman Sapian akan digantikan sebagai Menteri Besar Johor.

Tunku Ismail berkata Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar telah membuat keputusan itu sejak beberapa bulan lalu.

"Titah untuk tukar menteri besar dah lama. Tetapi orang lain pula nak ambil kredit dan mileage, kononnya dia arahkan.

"Ke bawah Duli Tuanku sudah meneliti untuk tukar MB sejak berbulan lalu. Jangan lupa, kuasa memilih menteri besar adalah hak mutlak Sultan. Cukup-cukuplah politicking," tulisnya di Twitter hari ini.

Pada Isnin lepas, Osman bertemu perdana menteri Dr Mahathir Mohamad di Putrajaya, yang mencetuskan khabar angin beliau akan digantikan sebagai menteri besar Johor.

Bagaimanapun, setiausaha akhbar Osman menyangkal khabar angin tersebut dan mengatakan menteri besar itu menghadiri perbincangan sebagai persediaan  pemukiman pemimpin Singapura dan Malaysia yang ke-9.

Namun ketiadaan Osman pada sesi pemukiman itu hari ini membangkitkan lagi spekulasi bahawa beliau akan berundur sebagai menteri besar Johor.

Exco gantikan Osman

Sebaliknya, exco Johor yang bertanggungjawab terhadap kesihatan dan alam sekitar Sahruddin Jamal menghadiri pemukiman di Putrajaya itu.

Sahruddin disebut-sebut sebagai pengganti kepada Osman Sapian.

Setiausaha akhbar Osman, Abdul Hakim Abdul Rahman mengesahkan bosnya tidak hadir meskipun bertemu perdana menteri Dr Mahathir Mohamad semalam bagi membincangkan persiapan sebelum berlangsungnya pemukiman tersebut.

Semalam Malaysiakini menghubungi Osman untuk mendapatkan reaksi mengenai khabar angin bahawa kedudukan beliau sebagai Menteri Besar Johor akan digantikan individu lalu. 

Bagaimanapun Osman hanya membalas dengan menghantar emoji mulut tertutup.

Spekulasi mengenai kedudukan menteri besar itu berlaku ketika hubungan tegang antara Putrajaya dan Istana Johor.

Tunku Ismail adalah pengkritik utama Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) yang didakwanya mengancam kedudukan Yang Di-Pertuan Agong, Melayu dan Islam. 

Beliau juga membawakan isu itu sebelum ini ke mesyuarat Majlis Raja-raja.

Mahathir kemudian membuat keputusan bahawa Malaysia tidak menyertai Statut Rome yang ditabdir ICC dalam mengendalikan kes jenayah pembunuhan beramai-ramai, jenayah terhadap kemanusiaan, jenayah perang dan jenayah pencerobohan.

Mahathir sebelum ini juga mengkritik Osman dalam mengendalikan projek seperti pembangunan Forest City, yang Sultan Johor mempunyai kepentingan terhadapnya.

Bagaimanapun, tweet terbaru Tunku Ismail menunjukkan isyarat bahawa keputusan akhir untuk memilih menteri besar Johor dibuat oleh sultan dan bukan Mahathir.

Tunku Ismail, dalam tweet berasingan, berkata beliau berharap menteri besar Johor yang baru tidak sekadar menjadi 'yes man' kepada kerajaan.

"Saya harap menteri besar yang baru bukanlah ”yes man” Putrajaya saja. 

"Kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negeri Johor mesti diutamakan," tegasnya. 

Lihat Komen
ADS