Soros bersedia bertemu Mahathir
eksklusif Tokoh kewangan terkemuka, George Soros bersedia untuk bertemu bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad walaupun mereka pernah berbeza pendapat sebelum ini.
eksklusif Tokoh kewangan terkemuka, George Soros bersedia untuk bertemu bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad walaupun mereka pernah berbeza pendapat sebelum ini.
" Saya fikir Mahathir telah memberi sumbangan besar kepada pembangunan Malaysia. Bagaimana seperti kebanyakan negarawan beliau tidak lari dari membuat kesilapan besar. Dalam banyak hal kami sependapat tetapi saya lebih suka jika dapat berdialog dengan beliau,"katanya.
Dr Mahathir menuduh Soros menyerang pasaran kewangan Asia pada tahun 1997 hingga menyebabkan berlaku krisis wkonomi di rantau ini.
Bagaimanapun Soros mempertahankan tindakannya dengan mengatakan sebagai seorang pengurus dana, menjadi tanggungjawabnya untuk mengenalpasti dasar-dasar yang tidak betul dan menjangkakan tindakan dan perubahan pasaran.
"Saya tidak mengawal pasaran kewan gan. Pihak berkuasa yang mengawal dasar dan terdapat beberapa dasar berhubung tukaran matawang yang merosakkan pasaran. Jadi mereka yang patut dipertanggungjawabkan terhadap krisis kewangan itu," katanya dalam wawancara eksklusif dengan malaysiakini di Singapura baru-baru ini.
Tokoh kewangan itu bagaimanapun bersetuju dengan cara Dr. Mahathir bertindak balas terhadap krisis tersebut.
"Saya setuju dengan tindakan Mahathir menangani krisis kewangan itu berbaniding dengan tindakan yang diambil atau nasihat yang diberikan oleh IMF," ujar Soros.
George Soros mengukir nama sebagai tokoh kewangan dunia pada tahun 1992 apabila dia meramalkan Bank of England tidak akan mampu mempertahankan nilai matawang Pound yang tinggi ketika itu. Apabila Bank of England mengapungkan Pound selepas itu, Soros meraih keuntungann besar.
Soros juga mengatakan beliau sependapat dengan Dr .Mahathir berhubung tindakan pentadbiran Bush menceroboh Iraq.
"Saya rasa sebahagian rakyat Amerika kini sedar pencerobohan ke atas Iraq adalah satu kesilapan besar dan pendapat umum di negara itu kini tidak lagi menyebelahi Bush.
"Kami menolak keganasan kerana pengganas membunuh orang-orang yang tidak berdosa bagi mencapai cita-cita politik mereka. Membunuh orang, samaada ia wajar atau tidak adalah suatu jenayah terhadap kemanusiaan dan tidak boleh diterima."
"Tetapi dalam menangani keganasan, kita tidak boleh bertindak seperti pengganas, berperang bererti kita membunuh manusia yang tidak bersalah," jelas beliau.
Bagaimanapun Soros tetap melahirkan rasa kurang senangnya terhadap tindakan-tindakan politik Dr. Mahathir terutamanya berkaitan layanannya terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
" Mahathir merasakan Malaysia telah menjadi mangsa penjajahan, oleh itu sebagai orang yang pernah menjadi mangsa, beliau sepatutnya berhati-hati supaya tidak menjadikan orang lain mangsanya pula."
" Saya fikir Mahathir telah membuat sumbangan besar kepada kemajuan Malaysia tetapi sebagaimana kebanyakan pemimpin besar lain, beliau juga melakukan beberapa kesilapan besar,"ujarnya lagi.
Soros, 75, sedang dalam rangka lawatan ke Asia Tenggara bagi melawat beberapa pertubuhan yang mempunyai kaitan dengan pertubuhan bukan kerajaan Open Society Institute (OSI) yang diasaskannya.
Masyarakat terbuka
Beliau menubuhkan pertubuhan yang memperjuangkan gagasan masyarakat terbuka dan demokrasi itu setelah mengalami sendiri kekejaman Nazi terhadap orang Yahudi pada Perang Dunia Kedua semasa tinggal di Hungary.
Selain menentang kekejaman Nazi, Soros berkata, krisis Israel-Palestin adalah antara isu-isu yang mesti ditangani segara dan perlu difahami dari prespektif kedua-dua pihak.
"Kedua-dua pihak perlu bersedia untuk menyelesaikan isu ini. Kedua-dua mesti bertanggungjawab," katanya.
OSI dan rangkaiannya telah memainkan peranan besar dalam menyokong aktiviti demokrasi terutamanya di Eropah Timur dan negara-negara bekas Soviet Union.
Antara yayasan dan pertubuhan yang menerima sokongan Soros ialah institusi modal teroka, Media Development Loan Fund yang ditubuhkan pada 1995.
MDLF melabur dalam organisasi media bebas di negara-negara membangun . Ketika ini ia menerima sokongan daripada 15 pertubuhan antarabangsa termasuk Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNDP).
MDLF telah mempelopori penggunaan instrumen kewangan seperti bon untuk mengumpul modal bagi dilaburkan dalam program kebebasan media. MDLF telah melabur dalam lebih 50 organisasi media di 28 negara termasuk 29 peratus ekuiti dalam Malaysiakini.com. Berita asal

