Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata menteri besar Johor seterusnya akan dilantik dari kalangan wakil rakyat Bersatu, berdasarkan persetujuan dalam Pakatan Harapan (PH).

Beliau berkata parti itu sedang menimbang beberapa nama untuk jawatan itu.

"Tentang siapa pengganti...Kalau ikut perjanjian dalam PH, MB Johor dari parti Bersatu.

"Kita sudah ada tiga atau empat nama,"katanya dalam sidang media di Parlimen hari ini.

Dalam sidang media itu, Mahathir mengesahkan Adun Kempas Osman Sapian telah menyerahkan surat peletakan jawatannya sebagai menteri besar Johor dalam satu pertemuan di Putrajaya, semalam.

Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan sebab Osman meletakkan jawatannya.

Kata Mahathir lagi, pemangku menteri besar mungkin dilantik untuk sementara waktu.

Spekulasi pengunduran Osman daripada jawatan itu mula muncul baru-baru ini dan dikuatkan lagi oleh pertemuannya dengan Mahathir.

Setiausaha akhbar Osman, Abdul Hakim Abdul Rahman berkata pertemuan itu sempena Pemukiman Pemimpin Singapura-Malaysia.

Bagaimanapun Osman tidak hadir ke program itu yang berlangsung di Putrajaya hari ini.

Sebaliknya exco kesihatan, alam sekitar dan pertanian yang menghadiri program itu. Beliau juga dikatakan antara calon yang bakal menggantikan Osman.

Lihat Komen
ADS