Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Mahathir: Kenapa tak timbulkan isu Felda masa ‘Bossku’

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini mempersoalkan mengapa Ahmad Maslan (BN-Pontian) tidak pernah mengemukakan cadangannya untuk memperbaiki Felda semasa pentadbiran BN terdahulu.

Mahathir berkata demikian ketika hadir semasa perbahasan Kertas Putih Felda.

Sewaktu sesi perbahasan, Ahmad memuji Dr Mahathir kerana turut menyertai sesi perbahasan dan menjelaskan beliau menghormatinya.

Katanya, Dr Mahathir merupakan antara pemimpin yang beliau sanggup mencium tangan, sedangkan dirinya tidak berbuat demikian terhadap bekas perdana menteri, Najib Razak.

Dr Mahathir kemudian secara mengejut bangun mencelah perbahasan Ahmad.

"Hari ini dalam sejarah," katanya sambil memberi laluan meskipun berkata beliau  membawa 10 cadangan untuk memperbaiki Felda.

“Sebagai wakil rakyat Langkawi, saya kagum dengan cerita-cerita dongeng disampaikan (di Dewan Rakyat),” kata Dr Mahathir dengan nada sinis.

“Yang saya hairan kenapa dia tak beritau kepada ‘Bossku’ lamanya (bekas perdana menteri, Najib Razak), supaya hari ini kita tidak ada masalah dan tidak ada Kertas Putih (Felda), semua bersih belaka.

“Tapi penyanggak-penyanggak ini telah meninggalkan bekas-bekas mereka dan kita perlu bersihkan. Begitu banyak untung FGV ini, berbilion-bilion, tolong tunjuk di mana duit itu berada,” katanya.

Ahmad, bagaimanapun berkata beliau tidak membawa cerita dongeng dan FGV hanya mengalami kerugian selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan.

“Saya dah sebut, dari 2012 hingga 2017 FGV untung, boleh semak, saya bukan cerita donggeng, dia (FGV) rugi tahun 2018.

“Begitu juga Khazanah, Langkawi, 10 tahun sudah semua untung, tiba 2018 rugi,” katanya.

[Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan Ahmad turut melahirkan rasa teruja dengan kehadiran perdana menteri dan timbalannya, Dr Wan Azizah Wan Ismail bagi mendengar perbahasan berkenaan.

Ahmad mendakwa setelah Pakatan Harapan memerintah, FGV pada 2018 mencatat kerugian berjumlah RM1.04 bilion.

"Tetapi apabila Yang Berhormat (Langkawi) ambil alih kerajaan, eh menteri ekonomi lah (merujuk kepada Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali), saya tak nak salahkan (Langkawi).

“Saya kalau jumpa Yang Berhormat Langkawi, saya salam cium tangan, arwah ayah saya, saya cium tangan, bekas-bekas perdana menteri, Pekan (Najib Razak) saya tak cium, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Tun Mahathir saya cium tangan," katanya yang mengundang gelak ketawa anggota Dewan Rakyat.

Beliau kemudian meneruskan perbahasannya termasuk mencadangkan supaya diwujudkan kawasan industri di tanah rancangan Felda bagi memajukan dan memberi peluang pekerjaan kepada generasi kedua Felda sebelum Dr Mahathir bangun bagi mencelah perbahasan itu.

"Hari ini dalam sejarah, saya bagi laluan sepenuhnya," katanya yang sebelum itu tidak membenarkan pencelahan daripada dua anggota Parlimen iaitu Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil(PH-Lembah Pantai) dan Hasanuddin Mohd Yunus (PH-Hulu Langat).

Lihat Komen
ADS