Anak Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad, Marina, adalah antara mereka yang menandatangani petisyen yang menggesa Pakatan Harapan untuk tidak menarik balik keputusan kerajaan untuk meratiifikasi Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Petisyen dalam talian di Change.org menyatakan bahawa Statut Rom akan memberi keadilan kepada 298 orang yang terbunuh ketika pesawat Malaysia Airlines MH17 ditembak jatuh kira-kira 50km dari sempadan Ukraine-Rusia pada Julai 2014.

Ketika berita ini ditulis, petisyen, yang juga diciap oleh Marina, telah ditandatangani oleh lebih daripada 9,700 orang.

Petisyen itu dimulakan oleh kumpulan pelajar yang bertanggungjawab membocorkan ringkasan eksekutif sebuah kertas kajian oleh empat ahli akademik yang didakwa digunakan untuk meyakinkan sidang Majlis Raja-raja untuk menolak Statut Rom.

Jumaat lalu, perdana menteri mengumumkan bahawa keputusan Malaysia menarik diri daripada Statut Rom adalah berikutan kekeliruan yang timbul dari segi politik dan dalam kalangan masyarakat.

Dakwa Mahathir ini berpunca daripada kekeliruan yang dicipta oleh orang tertentu "yang ingin bebas memukul orang dan melakukan perkara seperti itu".

"Jika dia pukul orang lagi, saya akan hantar polis untuk menangkapnya. Saya tidak peduli siapa dia," katanya.

Walaupun tidak menyebut sebarang nama, spekulasi adalah bahawa Mahathir merujuk kepada kerabat istana Johor, terutamanya, Tunku Ismail.

Pewaris Sultan Johor itu berpendapat bahawa perjanjian berkenaan akan mengancam kedudukan Yang di-Pertuan Agong, Melayu dan Islam.

[Baca berita penuh]