Tulang manusia dipercayai milik seorang wanita ditemui seorang juruukur yang sedang melakukan kerja-kerja mengukur tanah di sekitar kawasan Universiti Tenaga Nasional (Uniten) di Sepang pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Sepang ACP Abdul Aziz Ali berkata juruukur itu bersama beberapa rakannya sedang mengukur kawasan berkenaan apabila dia terlihat selipar, pakaian dan bantal di salah satu check point.

“Dia kemudian menghampirinya dan menjumpai beberapa tulang besar yang dibalut dengan selimut yang disyaki tulang manusia," katanya kepada media ketika dihubungi malam tadi.

Menurut Abdul Aziz tempat kejadian merupakan kawasan ladang getah terbiar dalam kawasan Uniten dan terletak kira-kira 1km dari padang ragbi, dan 30 meter dari jalan tanah merah berdekatan pencawang eletrik.

Katanya beberapa barang lain ditemui di tempat kejadian termasuk cincin, gelang, jaket berwana gelap, tali pinggang serta pakaian dalam; namun tiada sebarang pengenalan diri ditemui.

Berdasarkan pemerhatian awal, kata Abdul Aziz, polis tidak menolak kemungkinan tulang itu berada di tempat berkenaan kira-kira sejak setahun lalu.

Abdul Aziz seterusnya meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kes itu untuk tampil bagi membantu siasatan, atau menghubungi terus pegawai penyiasat, ASP Wan Azirul di Ibupejabat Polis Daerah Sepang dengan menelefon 03-87774222 atau hubungi mana-mana balai polis yang berhampiran.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

- Bernama