PRK RANTAU l Ekonomi negara memerlukan masa untuk pulih setelah menjadi "sakit" di bawah pemerintahan BN, kata naib presiden PKR Rafizi Ramli ketika berkempen di Rantau malam semalam.

Menurut Rafizi, keadaan negara hari ini yang dibebani hutang juga terjejas dengan ketidakstabilan ekonomi di dua pasaran terbesar dunia, iaitu China dan Amerika Syarikat.

Katannya, Pakatan Harapan (PH) telah mengambil alih kerajaan ketika negara berada dalam sakit dan tenat dan kini sedang berada dalam tempoh berubat bagi proses penyembuhan.

“Segala masalah ini perlu diselesaikan, kalau kita sakit, kita pergi jumpa doktor. Memang tempoh awal untuk berubat itu sakit tapi lama-lama kita akan sembuh.

“Sama macam Malaysia sekarang, adakah kita berpuas hati dengan keadaan Malaysia? Lebih baik tapi kita mahu jauh lebih baik daripada sekarang,” katanya yang dipetik akhbar Utusan Malaysia.

Beliau berkata, negara ini bernasib baik kerana walaupun dalam keadaan sakit ketika tetapi sedang dipulihkan oleh gandingan dua orang doktor iaitu Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad dan Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail.

“Walaupun saya rasakan lebih banyak boleh dibuat, saya yakin Dr Mahathir dan Dr Wan Azizah serta (Presiden PKR) Anwar Ibrahim sekurang-kurangnya mereka akan berterus-terang.

“Kalau Malaysia tiada duit, dia cakap tiada duit, kalau Malaysia boleh ada subsidi untuk kurangkan harga minyak, (Menteri Kewangan) Lim Guan Eng telah laksanakan, kita mampu kita buat,” katanya.

Isu cincin berlian

Pada ceramah itu, Rafizi juga meminta rakyat untuk melihat pembelian isu cincin merah jambu yang didakwa dibeli oleh Rosmah Mansor, isteri bekas perdana menteri Najib Razak dengan fakta lengkap.

“Sekarang ini yang jadi isu siapa yang bayar dan pakai duit siapa. Kalau ikut fakta siasatan dari Amerika Syarikat mengatakan bahawa berlian itu dibayar menggunakan wang 1MDB.

“Tiada orang mempersoalkan berlian itu dibayar dan tujuannya untuk diberikan hadiah kepada Rosmah.

“Najib kata, berlian itu ada, dia dengar, dibayar tapi yang bayar itu orang lain bukan duit 1MDB nak beri hadiah kepada Rosmah.

“Fakta akhirnya Rosmah tak dapat berlian itu tidak menidakkan fakta bahawa berlian itu dibeli menggunakan wang yang mengikut siasatan di Amerika Syarikat bahawa wang itu adalah wang 1MDB,” katanya seperti yang dipetik oleh Utusan Malaysia.