Paling Popular
Terkini

Timbalan Menteri Dalam Negeri Mohd Azis Jamman berkata pihaknya menyerahkan kepada kpolis untuk memutuskan jika tindakan perlu diambil terhadap Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

“Kita di peringkat kementerian ini, kita serahkan kepada pihak polis untuk membuat tindakan dan berpandukan kepada laporan polis kalau ada,” katanya dalam sesi soal jawab di parlimen hari ini.

Beliau menjawab soalan Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau), yang bertanya sama ada kenyataan TMJ di media sosial dikira melanggar Akta Hasutan 1948 dan kerajaan bersedia bertindak terhadap baginda.

Ismail berkata apa yang berlaku menyebabkan rakyat resah dan menjejaskan kestabilan politik sera kewibawaan kerajaan.

“Dalam masa sama, rakyat dan raja tak boleh dipisahkan,” katanya.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad kelmarin memberi amaran tindakan boleh dikenakan terhadap TMJ jika menghasut dan menegaskan baginda tidak kebal di sisi undang-undang.

Menjawab di Twitter, TMJ mempersilakan tindakan itu dan menegaskan beliau cuba membela perlembagaan, Raja-raja Melayu dan agama Islam.

Tunku Ismail bertikam lidah dengan Mahathir berhubung kehendak kerajaan untuk meratifikasi Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Lihat Komen
ADS