Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Umno Kelantan harap Kada lebih baik di tangan Husam

Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) diharap berada di landasan tepat dan berfungsi dengan lebih baik melalui kepimpinan pengerusi baru, kata Ketua Pembangkang DUN Kelantan, Md Alwi Che Ahmad.

Menurutnya, pelantikan Senator Husam Musa sebagai pengerusi Kada yang baru itu satu keputusan tepat yang dibuat oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA).

"Kebiasaannya secara tradisi kerajaan persekutuan melantik pemimpin paling senior di Kelantan untuk menerajui Kada, kalau dulu menteri besar akan mempengerusikan Kada.

"Justeru, pemilihan Senator Husam Musa sebagai pengerusi Kada adalah sangat tepat dan sesuai," katanya pada sidang media selepas majlis serah tugas pengerusi Kada di Kota Bharu, hari ini.

Sebagai rekod, Md Alwi yang juga anggota dewan undangan negeri (Adun) Kok Lanas merupakan pengerusi Kada terakhir sebelum BN gagal mempertahankan pemerintahan negara pada pilihan raya umum lalu.

Sebelumnya, jawatan itu antaranya pernah dipegang oleh Anggota Parlimen Ketereh, Annuar Musa dan tokoh veteran Umno Kelantan, Hussin Ahmad.

Kada bukan sekadar jabatan k'jaan

Terdahulu, Husam yang juga naib presiden Amanah dilantik sebagai pengerusi agensi berkenaan berkuat kuasa 1 Mac lalu.

Sementara itu, Md Alwi berharap agar Husam berusaha menjadikan Kada sebuah institusi istimewa dan penting dalam hal pertanian, sepertimana Akta Kada 1972.

Katanya, Kada adalah peneraju kepada gerakan pertanian dan sosial di Kelantan, tapi sayangnya hanya menjadi sebuah jabatan kerajaan.

"Sejak akhir-akhir saya pegang Kada dulu, Kada hanyalah sebuah jabatan kerajaan. Itu tidak betul.

"Kalau ikut sebenarnya Kada adalah institusi tersendiri dan badan berkanun yang bebas, yang ditadbir melalui akta khas parlimen.

"Ini perlu dikembalikan sekaligus menjadikan Kada satu pertubuhan berwibawa demi kepentingan rakyat," ujarnya.

Lihat Komen
ADS