Timbalan presiden Umno Seri Mohamad Hasan mencadangkan supaya Umno Sabah diberi lebih autonomi kerana dalam keadaan sekarang, parti itu tidak sesuai diurus daripada ibu pejabat.

Beliau yang juga calon BN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau berkata selain faktor negeri itu yang besar, sentimen rakyat negeri itu terhadap parti luar dari Sabah turut perlu diambil kira.

"(Umno) Sabah dalam jangka masa panjang tidak sesuai untuk diurus daripada ibu pejabat. Situasi di Sabah, mereka tidak suka parti daripada Semenanjung.

"Mereka lebih suka daripada Sabah dan Sarawak. Kita akan buat sebagaimana yang dibuat di Sarawak. Di sana tidak ada Umno tapi kita ada parti yang bersekutu dengan kita,” katanya ketika sidang media hari ini.

PRK DUN Rantau, 13 April ini menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan Dr S Streram, Mohamad dan dua calon bebas iaitu suri rumah R.Malarvizhi dan bekas pensyarah Mohd Nor Yassin.

Ia berikutan Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Mohamad, yang juga penyandang DUN Rantau untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban pada 16 Nov tahun lalu, yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 terbatal dan tidak sah.

- Bernama