Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun hari ini, menafikan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pilah, Mohamad Nazaruddin Sabtu, 62, kini berada dalam keadaan tenat, seperti yang ditularkan dalam media sosial.

Aminuddin berkata malah Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesenian, Kebudayaan dan Adat Istiadat Melayu negeri itu baru sahaja merasmikan program Olek Luak Gunung Pasir : Masakan Tradisi Kepala Kambing di Kampung Sikai, Seri Menanti, Kuala Pilah.

“Beliau berada dalam keadaan sihat, dan pagi tadi pun beliau ada tugas merasmikan program di Kuala Pilah,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Dalam pada itu, Aminuddin turut meminta orang ramai agar tidak menyebarkan berita yang tidak benar.

“Janganlah sebar berita-berita yang bukan-bukan,” katanya.

Hari ini, di media sosial telah tular mengenai Mohamad Nazaruddin yang dikatakan kini berada dalam keadaan tenat.

- Bernama