Timbalan Speaker Dewan Rakyat Nga Kor Ming menafikan ada kakitangan parlimen memuat naik kandungan Kertas Putih Felda ke laman sesawang badan itu sebelum waktunya.

Bercakap kepada media di lobi parlimen hari ini Nga menjelaskan kandungan kertas putih terbabit hanya dippaparkan selepas Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali membentangkannya di Dewan Rakyat.

"Maka tiada sebarang pelanggaran peraturan berlaku. Dakwaan pembangkang bahawa kakitangan parlimen melanggar embargo itu tidak benar sama sekali," katanya.

Nga yang juga anggota parlimen Teluk Intan berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Pembangkang Ismail Sabri Yaakob sebelumnya.

Kata anggota parlimen Bera itu ada kakitangan parlimen membocorkan kandungan kertas putih terbabit sehari sebelum embargo ke atasnya berakhir pada 10 April.

Dakwaan Ismail Sabri itu dibuat sebagai langkah BN mempertahankan bekas perdana menteri Najib Razak yang dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen atas tuduhan mendedahkan kandungan kertas putih terbabit sebelum waktu dibenarkan.

Nga menjelaskan memang ada pautan untuk kertas putih itu dipaparkan pada laman sesawang parlimen untuk menunjukkan peraturan mesyuarat Dewan Rakyat pada 10 April.

Bagaimanapun kata Nga pegawai yang mengendalikan hal itu tidak memuat naik kandungan kertas putih terbabit.

"Itu agenda, memagn perlu dimaklumkan supaya semua (anggota parlimen) tahu apa yang akan berlaku pada sidang parlimen.

"Apabila anda klik pada pautan tersebut, ia kosong," katanya.

Justeru kata Nga tidak betul untuk pembangkang mendakwa kakitangan parlimen membocorkan kandungan dokumen berkenaan sebelum waktunya.

"Tak ada sebab untuk pembangkang memfitnah pegawai parlimen," katanya.

[Baca berita penuh]