Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Jangan tokok tambah tulisan pasal bangsawan samseng'
Diterbitkan:  Apr 11, 2019 5:18 PM
Dikemaskini: 9:21 AM

Mufti Perlis Dr Asri Zainul Abidin berharap tulisannya yang mengkritik golongan “bangsawan samseng” lima tahun lalu tidak ditokok tambah.

Pesan itu dibuat setelah ia kembali tular, kebetulan ketika hubungan tegang istana Johor dan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

“Saya amat sibuk sehari dua ini. Tidak tahu kenapa sehari dua ramai yang bertanya dan tularkan kembali artikel tersebut. 

“Apapun, harap ia diedarkan dalam tulisannya yang asal tanpa tokok tambah yang bukan dari penulis,” kata Asri di Facebook.

Beliau berkata demikian ketika mengesahkan artikel yang ditulis pada 18 Oktober 2014 itu.

Artikel itu antaranya mengkritik bangsawan yang menunjuk samseng kepada rakyat, membolot harta, membazir harta awam, memukul sesuka hati orang biasa, mengambil apa saja yang suka, mengugut sesiapa yang mereka mahu, memaki sesiapa yang mereka hendak.

Katanya apa yang berlaku kepada istana dan raja-raja di Eropah, China dan Parti, yang pencapaiannya nampak tidak akan tumbang, harus dijadikan pengajaran.

“Tapi kesemuanya lenyap.

“Kesemua ini menjadi pengajaran kepada golongan bangsawan yang masih berkuasa dalam pelbagai bangsa agar menjaga adab dan ketertiban mereka, jangan samseng sehingga akhir mereka dicampak oleh rakyat sendiri dan bangsa sendiri,” tulisnya.

“Salah satu sebab kejayaan bangsa Eropah adalah kerana mereka tidak membiarkan kezaliman raja-raja berterusan.”

 

Lihat Komen
ADS