Paling Popular
Terkini

PRK RANTAU | Tindakan sebuah NGO melakukan demonstrasi di Pekan Rantau berakhir dengan insiden pergelutan antara ahli NGO terbabit dan penyokong Pakatan Harapan (PH).

Kejadian itu berlaku selepas kira-kira 10 ahli Gabungan Anti DLP (Program Dwi Bahasa) berdemo bagi menolak pelaksanaan semula dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Mereka turut membawa kain rentang tertulis "Mahathir kambing hitamkan sekolah Tamil, Kami bantah PPSMI, Tok Mat sokong bahasa ibunda dan Streram kata sangat sibuk".

Selain itu turut meminta pengundi Rantau agar tidak mengundi calon PH, Dr S Streram pada 13 April ini.

Susulan tindakan itu, penyokong PH berkumpul di lokasi berkenaan sehingga berlaku pertengkaran dan tolak menolak antara mereka.

Namun pergelutan tersebut dihentikan apabila pihak polis tiba dan menenangkan keadaan kira-kira 10 minit selepas itu.

Menurut Theeyagu Loganaden yang mengetuai NGO terbabit, mereka kecewa dengan Streram kerana enggan menjelaskan pendirian mengenai cadangan pelaksanaan semula PPSMI.

"Kami ke Rantau untuk ingin tahu pendirian calon-calon di PRK ini berkenaan pelaksanaan semula PPSMI. 

"Ketika kami jumpa (calon BN) Mohamad Hasan beliau beritahu kami menyokong bahasa ibunda.

"Namun, Streram tidak layan kami, katanya sangat sibuk dengan kempen PRK. Maka, kami berceramah hari ini untuk menolak Streram pada PRK ini," jelasnya kepada Malaysiakini.

Selain Mohamad, beliau menjelaskan turut berkempen untuk calon bebas R Malar pada PRK itu.

Bagaimanapun, bekas timbalan setiausaha agung PKR, P Janapala mendakwa tindakan NGO tersebut merupakan provokasi dan mempunyai agenda tertentu.

"Ketika saya tanya kepada mereka apa kena-mengena dengan PPSMI dengan Streram yang belum lagi menang dalam PRK ini? Mereka tidak jawab sebaliknya berkata ini hak mereka untuk berkempen.

"Saya hormati hak mereka untuk berdemo. Tapi, demo itu kena logik sikit. Isu PPSMI ini isu kerajaan pusat. Kalau nak tanya, pergilah kepada Perdana Menteri, Menteri Pendidikan atau menteri-menteri India yang ada di kabinet. Apa kena-mengena dengan Streram?

"Bukannya dia diangkat sebagai menteri di kabinet pun selepas menang di Rantau," jelasnya.

Lihat Komen
ADS