Malaysiakini BERITA

Perbicaraan petisyen Parlimen Jasin bersambung 7 Mei depan

Bernama

Diterbitkan

Mahkamah Pilihan Raya di Melaka hari ini menetapkan 7 Mei depan untuk menyambung perbicaraan Petisyen Pilihan Raya Parlimen Jasin.

Peguam Muniandy Vestanathan yang mewakili calon Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum ke 14 (PRU) bagi kerusi Parlimen Jasin, Khairuddin Abu Hassan berkata dianggarkan seramai 17 saksi lagi akan dipanggil.

“Sehingga kini, seramai 28 saksi perbicaraan telah dipanggil memberi keterangan di hadapan Hakim Datuk Abu Bakar Jais,” katanya ketika ditemui di luar mahkamah, Melaka, hari ini.

Pada 6 Mac lepas Mahkamah Pilihan Raya di Melaka menolak bantahan awal Anggota Parlimen Jasin Ahmad Hamzah untuk membatalkan petisyen pilihan raya yang difailkan Khairuddin selaku pempetisyen.

Sehubungan itu, mahkamah menetapkan perbicaraan penuh bermula pada 11 Mac hingga hari ini.

Khairuddin dalam petisyennya menamakan Ahmad sebagai responden pertama, Pegawai Pengurus Pilihan Raya kerusi Parlimen Jasin, Zamrud Yahya responden kedua dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) responden ketiga.


--Bernama