Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MOM nafi lantik individu berkait Jho Low jadi COO

Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menafikan laporan media yang mengatakan Ung Su Ling, individu yang pernah dikaitkan dengan ahli perniagaan dalam buruan Jho Low dilantik menjadi ketua pegawai operasinya yang baru.

Namun, MOM tidak menolak bahawa Ung merupakan calon utama daripada enam nama yang disenarai pendek dari 59 permohonan keseluruhan.

Menurut, presidennya Norza Zakaria, pelantikan untuk jawatan COO itu akan diumumkan pada hujung bulan ini.

"Setelah kita berbincang tentang perkara ini, pertama sekali saya nak menyatakan bahawa apa yg dilaporkan media sebelum ini berlandaskan khabar angin dan spekulasi.

"Kerana OCM (MOM) tak pernah buat pengumuman dan kenyataan di atas pelantikan COO

"Yang kita tahu, sejak mesyuarat baru-baru ini bahawa media telah lapor berkenaan dengan isu itu tanpa berlandaskan kepada mana-mana keputusan rasmi daripada OCM," katanya pada satu sidang media di Wisma OCM di Kuala Lumpur hari ini.

Katanya lagi, pengumuman mengenai cadangan untuk melantik COO itu diumumkan tiga bulan lalu dan bertujuan menambahkan keupayaan pengurusan sedia ada.

Menurut laporan The Edge Weekly pada Jun 2018, Ung pernah bekerja di Pengurusan Aset Merican & Partners, yang mana dia bertanggungjawab menguruskan pelaburan bagi pihak Jho Low.

"Dia kemudiannya menyertai perniagaan keluarga Low, Wynton Group. Selepas itu Jho Low menjadikan Ung sebagai CEO Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M) yang merupakan cabang amal 1MDB.

"Melalui YR1M, yang menerima beratus juta daripada syarikat seperti Genting dan Tanjong, wang tunai itu disalurkan kepada program politik atas nama amal," petik laporan itu.

YR1M dahulunya dikenali sebagai Yayasan Gemilang 1Malaysia - badan kebajikan yang "menerima sumbangan dan memberi bantuan dalam bidang pendidikan, sukan, kebudayaan dan lain-lain". Najib Razak menjadi salah seorang pengarahnya.

YR1M kini menjadi subjek siasatan dalam perbicaraan pengubahan wang haram Najib yang melibatkan bekas anak syarikat 1MDB, SRC International.

New Straits Times pula melaporkan keputusan untuk melantik Ung dibuat panel diketuai Norza sendiri serta dianggotai timbalan presiden Azim Zabidi dan setiausaha agung Nazifuddin Najib.

Azim yang turut hadir pada sidang media berkata, MOM perlu pembahagian kuasa antara penggubal dasar dan pengurusan dan seorang yang profesional diperlukan untuk mengisi kekosongan yang ada dalam pengurusan majlis itu.

"Calon pertama merupakan Ung Su Ling. Adakah saya menipu mengenai perkara itu? Tidak.

"Dia merupakan yang pertama (daripada 59 calon) tapi saya tak pernah katakan dia adalah individu yang akan memegang jawatan tersebut.

"Saya mengesahkan dia memang (pilihan) yang paling atas. Saya juga jelaskan mengenai proses bagaimna dia boleh menjadi yang (pilihan yang) pertama," katanya lagi.

Bagaimanapun katanya lagi, sebarang keputusan perlu dibincang bersama pemegang taruh dan pilihan terbaik tak semestinya akan dilantik.

Pada 2015, Ung pernah disebut dalam laporan The Wall Street Journal kerana didakwa membelanjakan berjuta ringgit untuk membantu BN dalam PRU ke-13.

Lihat Komen
ADS