Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
LANGSUNG: Berbaki sejam, peratus keluar mengundi melepasi PRK Semenyih

LANGSUNG | Pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau akan membuat keputusan penting bagi memilih wakil rakyat mereka pada pilihan raya kecil (PRK) DUN berkenaan yang berlangsung hari ini.

PRK itu menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon BN, Mohamad Hasan, calon Pakatan Harapan (PH) Dr S Streram dan dua calon bebas, R Malar dan Mohd Nor Yasin.

Seramai 20,804 pengundi layak mengundi hari ini bagi menentukan wakil rakyat pilihan mereka.

DUN Rantau terdiri daripada 55 peratus pengundi Melayu, 26 peratus India, dan 18 peratus Cina.

PRK itu diadakan selepas mahkamah membatalkan kemenangan Mohamad Hasan pada pilihan raya umum lalu. 

Ikuti laporan langsung oleh Malaysiakini: 


Undi tamat

5.30pm: Tempoh mengundi tamat.

Terus layari Malaysiakini untuk laporan langsung keputusan PRK Rantau.

4.30pm: Walaupun dengan hujan lebat, peratus keluar mengundi setakat pukul empat petang telah mencapai 74 peratus, menurut SPR.

Berbaki sejam lagi sebelum pusat mengundi ditutup, kadar itu telah melepasi peratus keluar mengundi di PRK Semenyih - 73.3 peratus.

3.20pm: Peratus keluar mengundi setakat jam 3 petang adalah sebanyak 69 peratus, menurut SPR.

3pm: Linsum: Hujan lebat melanda Rantau. Cuaca yang tidak dijangka itu, ternyata menjejaskan proses mengundi pada hari ini.

Penyokong dari kedua-dua parti bertanding meminta SPR membenarkan warga emas yang berada di kawasan mengundi memasuki ke pusat mengundi sementara menunggu hujan reda.

Sementara itu, penyokong BN dan PH tidak mengendahkan arahan SPR dan terus berkempen dengan menunjukkan isyarat satu dan empat kepada pengundi sebagai simbolik menyokong parti masing-masing.

2.50pm - Taman Angsamas: Penyokong BN dan PH terus bertambah dalam keadaan cuaca yang semakin mendung.

Selain melaung dan mengejek, penyokong BN menyanyikan lagu bagi menggesa pengundi Rantau memastikan kemenangan untuk Mohamad.

Penyokong PH membalas dengan laungan "reformasi" dan "bossku pencuri".

Hujan mulai turun dan orang ramai mula menggunakan payung.

2.25pm - Menurut SPR, jumlah keluar mengundi setakat jam 2 petang adalah sebanyak 61 peratus.

Ini melepasi jumlah yang diperolehi pada pilihan raya kecil Semenyih iaitu pada kadar 57 peratus.

2.10pm - Taman Angsamas: Keadaan agak tenang di kawasan daerah mengundi ini.

Penyokong BN berteduh di bawah khemah atau pokok, sementara beberapa penyokong PH berdiri di bawah panas matahari yang terik.

Beberapa orang yang ditemui Malaysiakini percaya kemenangan hari ini akan menjadi milik calon BN, Mohamad Hasan atas sumbangannya terhadap penduduk Rantau.

Bagaimanapun, masih ada yakin calon PKR, Dr S Streram berpeluang untuk memenangi PRK berkenaan.

"Tak tahu macam mana nak cakap, tapi itu rasa hatilah," kata N Rajkumar kepada Malaysiakini.

1.45pm - SPR berkata sebanyak 55 peratus telah keluar mengundi setakat jam 1 petang ini.

12.40pm - Rantau - SPR menganggarkan kadar keluar mengundi adalah sebanyak 47 peratus setakat jam 12 tengahari ini.

11.40am - SRJK(C) Chung Hua, Rantau: Pengantin baru Nurliyana Mohd Yazid, 30, singgah ke sekolah itu untuk mengundi ketika dalam perjalanan ke majlis perkahwinan di sebelah pasangannya hari ini.

Nurliyana dan suaminya Mohd Adham Adnan, melangsungkan pernikahan pada 23 Mac lalu.

Bercakap kepada pemberita selepas menambah calitan dakwat biru di atas hiasan inai di tangannya, Nurliyana berkata dia cukup teruja saat bahagianya itu jatuh pada hari pengundian.

 "Sangat gembira ada dua majlis, majlis mengundi dan majlis bertandang," katanya.

Katanya, pakaian perkahwinan berwarna biru gelap yang dikenakannya tiada kena-mengena dengan pilihan raya dan sekadar suatu kebetulan.

11.30am - SK Nyatoh: SPR mengatakan peratus keluar mengundi setakat jam 11 pagi ini dianggarkan sebanyak 38 peratus.

Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun meletakkan sasaran jumlah keluar mengundi akan mencapai 76 peratus sebelum jam 5.30 petang.

11.10am - Pekan Rantau: Di jalan utama di pekan Rantau, kira-kira 100 meter dari SRJK (C) Chung Hua, jumlah penyokong BN dan PAS jauh mengatasi penyokong PH.

Terdapat hampir 100 penyokong BN dan PAS, dan hanya kira-kira 20 penyokong PH di situ.

Penyokong BN dan PAS melaungkan 'hancing dan tipu' kepada penyokong parti lawan mereka. Bagaimanapun penyokong PH hanya dilihat berdiam diri. 

10.50am - SK Nyatoh: Penyokong PH dan BN saling bertekak di luar sekolah.

Ia bermula apabila penyokong PH membantah trak pikap yang mengandungi logo BN yang diparkir dalam lingkungan 50 meter dari sekolah berkenan.

Mereka kemudian bertegang leher dan menjerit ke arah satu sama lain mengenai had sempadan logo parti yang dibenarkan. 

Trak itu dikeluarkan dari tempat kejadian ketika kekecohan berlaku.

10.20am: SPR menganggarkan jumlah pengundi pada jam 10 pagi adalah sebanyak 26 peratus.

Berlaku kesesakan lalu lintas di beberapa lokasi di Rantau, terutamanya dekat sekolah yang menjadi pusat mengundi. 

9.55am- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menganggarkan jumlah keluar mengundi setakat jam 9 pagi tadi ialah sebanyak 13 peratus.

9.50am - Sekolah Kebangsaan Sega: Chua Chen Ho, 67 tahun, yakin Mohamad Hasan akan memenangi pilihan raya kecil itu.

"Kampung ni semua sokong Hasan. Bujang (anak muda) saja sokong Harapan,"  katanya kepada Malaysiakini.

Anak lelaki Chua, yang bekerja sebagai juruteknik penyaman udara di Kuala Lumpur, tidak akan pulang untuk mengundi kerana terpaksa bekerja hari ini.

9.05am - SRJK (C) Chung Hua, Rantau: Pemangku presiden Umno Mohamad Hasan yakin akan mempertahankan kerusi berkenaan.

"Saya rasa amat gembira kerana rata-rata bila saya jumpa mereka yg undi saluran 1 dan 2, body language bagus. Selama kita kempen sambutan sangat bagus," katanya. 

 Beliau juga memuji SPR kerana memperbaiki proses pengundian, terutamanya di saluran satu dan dua bagi memudahkan warga tua mengundi.

8.50am - SJK (T) Rantau: Calon Pakatan Harapan, Dr S Streram yang tiba di sekolah berkenaan untuk mengundi pagi ini, berkata beliau yakin akan menang kerusi berkenaan.

"Saya rasa sangat baik. Hari ini ialah ulang tahun perkahwinan saya (ke-34).

"Saya harap Tuhan ada bersama kita hari ini untuk memenangkan kerusi DUN ini untuk Harapan," katanya kepada pemberita.

8.30am - SRJK (C) Chung Hua, Rantau: Calon BN Mohamad Hasan tiba di pusat mengundi.

Abang sulungnya, Azman menemui Mohamad di pusat mengundi berkenaan dan kedua-dua mereka dilihat berpelukan.

Azman, yang menghidap pelbagai penyakit dan kesukaran berjalan, sebelum itu hadir ke sekolah tersebut untuk menunaikan kewajipannya sebagai pengundi di kawasan itu.

"Saya undi sebab adik saya masih bertanding, susah macam mana pun saya akan bangun dan datang mengundi.

"Tok Mat ni mesti menang, jadi dia akan menang".

7.30 pagi - SRJK (C) Chung Hua, Rantau: Calon bebas R Malar tiba 30 minit sebelum pengundian bermula.

"Hari ini adalah kali pertama saya mengundi di Malaysia," katanya kepada media dengan penuh semangat ketika beratur di luar pusat mengundi.

Malar menetap di Kanada selama 25 tahun sebelum pulang ke Malaysia pada 2016.

Beliau tiba di sekolah itu jam 6.40 pagi.

Calon BN, Mohamad Hasan juga akan mengundi di sekolah berkenaan.

Lihat Komen
ADS