Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
MB baru Johor angkat sumpah esok, kata setiausaha k'jaan negeri
Diterbitkan:  Apr 13, 2019 2:42 PM
Dikemaskini: 8:13 AM

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan untuk melantik menteri besar Johor yang baru pagi esok.

"Menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, juga telah berkenan untuk melantik Menteri Besar yang baharu dan Istiadat Penyerahan Surat Tauliah dan Pengisytiharan Pelantikan Menteri Besar akan diadakan pada hari Ahad, 14 April 2019, jam 9.30 pagi di Balai Mengadap, Istana Bukit Serene," kata kenyataan media yang dikeluarkan Setiausaha Negeri Johor Azmi Rohani.

Kenyataan media itu juga memaklumkan bahawa Sultan Johor telah berkenan menerima peletakan jawatan Osman Sapian sebagai menteri besar Johor pagi tadi.

Bagaimanapun, kenyataan media itu tidak menyebutkan nama menteri besar Johor yang baru.

Awal hari ini, Osman menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Sultan Ibrahim selepas wakil rakyat Bersatu itu memaklumkan kepada media bahawa pihak istana memanggilnya mengadap buat kali kedua 6.30 petang ini.

Osman juga memaklumkan bahawa Sultan Ibrahim meletakkan syarat agar menteri besar Johor yang baru merombak mesyuarat majlis exco.

Sultan Johor meletakkan syarat untuk membuat rombakan kepada Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (exco) kepada bakal penyandang menteri besar baru,

Selepas laporan berhubung peletakan jawatan Osman diumumkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad minggu lalu, timbul spekulasi berhubung calon menteri besar Johor yang baru.

Antara nama yang disebutkan adalah Adun Bukit Kepong, Shahruddin Jamal.

Spekulasi itu menarik perhatian ramai apabila Shahruddin hadir bersama Dr Mahathir pada Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura ke-9 di Putrajaya Selasa lalu yang pada masa sama tidak dihadiri Osman.

Menurut sumber Bersatu Johor, nama lain yang turut dipertimbangkan termasuklah Solihan Badri (Tenang), Mohd Izhar Ahmad (Larkin) dan Mazlan Bujang (ahli exco negeri Puteriwangsa).



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS