Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PKR N Sembilan janji siasat jika ada bukti sabotaj dalaman

PRK RANTAU | Pengerusi PKR Negeri Sembilan Aminudin Harun memberi jaminan siasatan dalaman akan dibuat jika terdapat bukti sabotaj dalaman sepanjang PRK Rantau yang menyebabkan kekalahan parti itu.

"Kita akan siasat (dan) jika betul kita akan ambil tindakan. Tetapi kita akan buat post mortem dulu," katanya ketika ditemui pemberita di bilik gerakan utama Pakatan Harapan (PH) di Rantau malam ini.

Beliau ditanya berkenaan dakwaan sabotaj dalaman terhadap calon Pakatan Harapan (PH) Dr S Streram.

Terdahulu, sumber parti mendakwa antara sabotaj itu adalah ketiadaan pengangkutan untuk membawa penyokong PH ke pusat mengundi serta segelintir pemimpin PH yang meminta pengundi tidak memilih Streram.

S Streram

Aminuddin yang juga menjadi pengarah pilihan raya bagi PRK ini meminta mana-mana pihak mengemukakan bukti sabotaj agar siasatan boleh dibuat.

SPR mengumumkan calon BN Mohamad Hasan menang dalam PRK Rantau dengan 10,379 undi, menewaskan Streram yang meraih 5,887 undi serta dua calon bebas, R Malar (83) dan Mohd Nor Yassin (79).

'PH ada peluang di masa depan'

Mengulas keputusan itu, Aminuddin mengucapkan tahniah kepada Mohamad dan mengakui cabaran yang dihadapi PH untuk menewaskan bekas menteri besar Negeri Sembilan itu.

"Tahniah kepada Mohamad Hasan di atas kejayaan Barisan Nasional (BN). Memang kita sedia maklum bahawa yang ini adalah kubu kuat Umno-BN....Kita tahu keupayaan untuk menandinginya di sini amat sukar."

Bagaimanapun beliau berkata PH tetap mempunyai peluang di kawasan itu, jika mengambil kira jumlah undi yang diraih Mohamad Hasan dalam PRK ini dan PRU ke-13.

Majoriti yang dimenangi Mohamad hari ini ialah 4,510 undi, kurang sedikit berbanding majoriti 4,613 undi ketika PRU ke-13.

"Ini menunjukkan undi yang diraih Mat Hasan tidaklah meningkat begitu tinggi (selepas mengambil kira peningkatan jumlah pengundi hampir 3,000).

"Kita melihat ada potensi untuk PH pada masa akan datang," katanya lagi.

Walaupun tiada pertandingan di Rantau pada PRU ke-14, BN kalah di kawasan itu di peringkat Parlimen.

Kali ini, Mohamad berjaya menjadikan DUN itu kawasan selamat buat BN, dengan menang di 13 daripada 14 pusat daerah mengundi (PDM).

Lihat Komen
ADS