Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
story images


LANGSUNG

Terima kasih buat pembaca Malaysiakini

Malaysiakini menutup tirai liputan PRK Rantau. 

Laporan oleh Zikri Kamarulzaman dan B Nantha Kumar; gambar oleh Azneal Ishak; grafik dan media sosial oleh Syariman Badrulzaman dan Ewe Ying Yenn.

Jika anda suka laporan kami, sokong media bebas dengan melanggan Malaysiakini pada harga serendah RM0.55 sehari. Klinik di sini untuk maklumat lanjut.


Hadi: Kemenangan BN perkembangan positif penyatuan ummah

9.50pm: Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata kemenangan BN di Rantau merupakan perkembangan positif ke arah agenda penyatuan ummah dan permuafakan di kalangan parti pembangkang, badan bukan kerajaan (NGO) dan tokoh-tokoh berpengaruh.

"Saya juga mengucapkan setinggi penghargaan kepada ahli dan jentera PAS serta DHPP (Dewan Himpunan Penyokong Pas) yang membantu dalam kempen PRK DUN Rantau ini, termasuklah ahli PAS di Rantau yang turun mengundi hari ini,” katanya.

Baca berita lanjut di sini.


Penyokong BN rai kemenangan

9.40pm: Kini jumlah hadirin yang berkumpul di luar SJK(C) Bandar Sri Sendayan - yang menjadi pusat penjumlahan undi - untuk meraikan kemenangan Mohamad meningkat kepada 1,000 orang.

Sorakan dan tiupan vuvuzela memenuhi suasana di situ. 


'Saya menang selesa sebab rakyat muak'

9.20pm: SJK(C) Bandar Sri Sendayan: Mohamad Hasan berkata beliau menang dengan selesa dalam PRK ini kerana rakyat telah muak dengan PH.

"Rakyat menolak (mereka), sebab itu kita menang dengan selesa.

"Orang sudah muak. Politik memfitnah (dan) menyalahkan orang lain ini tak pergi ke mana," katanya dalam sidang media selepas kemenangannya.

Beliau berkata rakyat sebaliknya mahu tahu bagaimana kerajaan akan mentadbir negara dalam keadaan politik dan ekonomi yang tidak stabil.


Rasmi: BN menang PRK Rantau dengan majoriti 4,510 undi

8.45pm: SPR secara rasmi mengumumkan calon BN Mohamad Hasan menang dalam PRK Rantau.

Para penyokongnya bersorak apabila pegawai pengurus pilihan raya mengumumkan Mohamad mendapat 10,379 undi, dan membuat sorakan 'boo' apabila beliau mengumumkan calon PH Dr S Streram menerima 5,887 undi.

Sementara itu, calon bebas R Malar dan Mohd Nor Yassin masing-masing menerima 83 dan 79 undi.

Mohd Nor dan Streram tiada di pusat penjumlahan undi ketika pengumuman dibuat.

PRK Rantau mencatatkan 79.3 peratus keluar mengundi. Undi rosak pula sebanyak 146.


Zahid: Kemenangan Mohamad mesej jelas buat PH

8.30pm: Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan kemenangan timbalannya Mohamad Hasan sebagai mesej jelas Pakatan Harapan (PH) telah ditolak pengundi.

"(Ia) suatu mesej bahawa PH telah ditolak pengundi yang merasakan mereka telah tersalah sokong pada PRU lalu.

"Tok Mat (Mohamad Hasan) juga adun paling sesuai untuk rakyat Rantau biarpun mereka berisiko mengundi calon pembangkang," katanya dalam kenyataan.

Zahid masih bercuti daripada jawatan itu. Jawatan presiden Umno kini dipangku Mohamad.


Setiausaha Agung PAS tiba

8.10pm: Di SJK(C) Bandar Sri Sendayan, yang menjadi pusat penjumlahan undi, lebih 100 penyokong BN berkumpul di luar untuk meraikan kemenangan Mohamad Hasan.

Mereka bersorak dan menyanyikan lagu 'Inilah Barisan Kita'.

sementara itu di dalam sekolah, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan tiba dan menyapa Pengerusi SPR Azhar Harun dengan dakapan.


ANALISIS RINGKAS: PH hanya menang satu PDM

8.05pm: PH kalah di 13 daripada 14 pusat daerah mengundi (PDM) dalam PRK Rantau kali ini.

Satu-satunya PDM yang dimenangi PH ialah Bandar Ekar, yang memiliki peratusan pengundi Cina paling tinggi (42.1 peratus) dan pengundi India ketiga tertinggi di Rantau.

Namun sokongan PH di situ juga menurun daripada 70.3 peratus pada PRU lalu (peringkat Parlimen Rembau) kepada 60 peratus untuk kali ini.

PH memenangi separuh PDM pada PRU lalu.

BN menang di 13 PDM, termasuk Pekan Sagga (63.7 peratus pengundi India) dan Linsum (48.3 peratus pengundi India) yang memiliki peratusan pengundi India paling tinggi di DUN itu.

BN juga menang besar di kawasan majoriti Melayu, termasuk Kampung Bemban (91 peratus Melayu), Kampung Sega (86.1 peratus Melayu) dan Kampung Sendayan (80.3 peratus Melayu).


Tinju melayang di bilik gerakan PH

7.45pm: Pergaduhan tercetus di bilik gerakan utama PH selepas media melaporkan keputusan tidak rasmi pilihan raya kecil (PRK) Rantau yang memihak kepada calon BN Mohamad Hasan.

Situasi tegang berlaku apabila ahli PKR dari Kuala Lumpur menyalahkan ahli parti dari kalangan penduduk tempatan susulan keputusan yang tidak memihak kepada calon mereka, Dr S Streram.

Susulan itu, berlaku jerit-menjerit menggunakan kata-kata kesat.

Baca berita penuh di sini.

 


Calon bebas hilang deposit

7.30pm: Dengan hampir semua undi telah dikira, calon bebas R Malar dan Mohd Yassin setakat ini masing-masing hanya meraih 83 dan 79 undi.

Ia jauh kurang berbanding satu perlapan daripada jumlah undi (kira-kira 16,000) yang diperlukan untuk mendapatkan semula deposit.

Deposit untuk kerusi DUN ialah RM5,000.


Sambutan di bilik gerakan BN

7.15pm: Bilik gerakan BN di Rantau riuh dengan sorakan dengan kemenangan tidak rasmi Mohamad Hasan.

Pemangku presiden Umno itu mengangkat dan menggenggam tangannya ke arah hadirin.

Para penyokong bersorak "terima kasih, terima kasih, Tok Mat menang".


7.05pm: Berdasarkan pengiraan Malaysiakini, PRK Rantau dimenangi oleh calon BN Mohamad Hasan.

Berdasarkan kiraan semasa yang dipaparkan di pusat penjumlahan undi, undi yang diraih Mohamad ketika ini sudah melebihi jumlah yang diperlukan untuk menang.

Malaysiakini menganggarkan jumlah keluar mengundi sebanyak 79 peratus daripada 20,926 pengundi yang layak.

Ini bermakna 8,266 undi diperlukan untuk menang.

Mohamad ketika ini sudah mendapat 8,442 undi berbanding pencabar terdekat iaitu calon PH yang memperoleh 4,642 undi.

Sementara itu, calon bebas R Malar dan Mohd Nor Yassin masing-masing mendapat 66 dan 67 undi.


BN rampas PDM majoriti India

7.03pm: BN merampas pusat daerah mengundi (PDM) Pekan Sagga daripada PH.

Pekan Sagga memiliki paling ramai pengundi India untuk DUN Rantau, kira-kira 63.7 peratus. Pengundi Melayu sebanyak 19.5 peratus dan pengundi Cina 16.8 peratus.

BN mendapat 56.57 undi di Pekan Sagga manakala PH 42.7 peratus.

Pada PRU lalu untuk Parlimen Rembau, PH menang 51.98 peratus undi manakala BN hanya mendapat 44.23 peratus undi. PAS pula 3.78 peratus.


BN mendahului lebih 2,000 undi

6.50pm: BN kini semakin melebarkan jurang dengan PH dengan perbezaan lebih 2,000 undi.

Dengan kira-kira satu pertiga undi sudah dikira, BN kini mengumpul 4,500 undi manakala PH 2,183 undi.

Sementara itu, calon bebas R Malar mendapat 22 undi dan Mohd Nor Yasin 27 undi.


BN menang besar di Kampung Sega

6.35pm: BN mengekalkan penguasaan di kubu kuatnya, Kampung Sega, dengan majoriti besar - 87.41 peratus undi.

PH pula hanya menerima 11.66 peratus undi.

Pada PRU lalu, BN memang di pusat daerah mengundi (PDM) itu dengan 68.98 peratus untuk Parlimen Rembau. PH pula 24.06 peratus.

Ini bermakna BN mencatatkan peningkatan di PDM itu hampir 20 peratus.

Terdapat 14 PDM di DUN Rantau.


Mat Hasan jarakkan kedudukan

6.30pm: Undi terhadap Mohamad telah mencecah empat angka, dengan mendapat 1,581 undi.

Sementara itu, Streram kini meraih 430 undi.

Calon bebas R Malar mendapat empat undi manakala Mohd Nor Yassin dengan lapan undi.


BN dahului undi awal

6pm: BN kini mendahului melalui undi pos dan undi awal, yang kebanyakannya daripada anggota polis dan kakitangan awam.

Menurut kiraan tidak rasmi, calon BN Mohamad Hasan mendapat 113 undi manakala calon PH Dr S Streram hanya mendapat 10 undi.


Peratusan tertinggi

5.45pm: PRK Rantau akan mencatatkan peratusan keluar mengundi tertinggi bagi pilihan raya kecil yang diadakan selepas PRU ke-14.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kadar pada pukul 4 petang telah mencecah 74 peratus. Ia melepasi peratusan keluar mengundi PRK Semenyih.

Berikut peratusan keluar mengundi untuk enam PRK yang diadakan selepas PRU ke-14:

Sungai Kandis - 49.4 peratus

Balakong - 43 peratus

Seri Setia - 44 peratus

Port Dickson - 58.3 peratus

Cameron Highlands - 68.79 peratus

Semenyih 73.34 peratus

SPR sebelum ini mengambil langkah untuk meningkatkan peratusan keluar mengundi, antaranya dengan menghantar maklumat pengundian terhadap 29,926 pengundi DUN Rantau.


Tempoh mengundi tamat

5.30pm: Pusat mengundi di Rantau telah ditutup.

Proses kiraan kini sedang berjalan untuk menentukan pemenang pertembungan empat penjuru itu.

Calon yang bertanding ialah Mohamad Hasan (BN), Dr S Streram (Pakatan Harapan) dan dua calon bebas R Malar dan Mohd Nor Yassin.

DUN Rantau mempunyai 20,926 pengundi berdaftar.

PRK ini diadakan selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya yang mengisytiharkan kemenangan tanpa bertanding Mohamad pada PRU lalu tidak sah dan terbatal.

Ia selepas Streram - juga dicalonkan PH untuk PRU ke-14 - dihalang daripada menghantar borang pencalonan ketika hari penamaan calon pada 28 April 2018.

Lihat Komen
ADS