Pemandu e-hailing digesa tak tunggu saat akhir buat pemeriksaan Puspakom
Hanya 35 daripada kira-kira 200,000 buah kenderaan e-hailing hadir menjalani pemeriksaan Puspakom di seluruh negara sehingga 10 April lalu.
Sehubungan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom Sdn Bhd Mohammed Shukor Ismail menggesa pemandu e-hailing supaya tidak menunggu saat akhir untuk berbuat demikian.
"Ini bagi mengelak sebarang kesulitan seperti tidak mendapat kelulusan dalam tempoh yang ditetapkan atau kesesakan pada saat-saat akhir," katanya pada sidang media hari ini.
Tambahnya, Puspakom telah melanjutkan waktu operasi kepada tujuh hari seminggu di 19 cawangan Puspakom terpilih untuk kemudahan pemandu kenderaan e-hailing.
Mohammed Shukor berkata mereka juga tidak perlu mendapatkan lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) terlebih dahulu sebelum membawa kenderaan menjalani pemeriksaan Puspakom.
Kerajaan akan mula menguatkuasakan peraturan tertentu bagi perkhidmatan e-hailing di negara ini bermula Julai ini.
- Bernama

