Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ahli PKR didakwa jamu pengundi Rantau dipanggil polis

Polis memanggil Ketua Komunikasi Pemuda PKR Wong Chun Yuan untuk membantu siasatan berhubung dakwaan yang mengatakan PH melanggar peraturan pilihan raya dengan menjamu pengundi di Rantau.

Ketika dihubungi, Pemangku Ketua Polis Negeri Sembilan Mohamad Mat Yusop mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa perkara itu sedang disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Kesalahan Pilihan Raya.

Perkembangan itu dilihat dialu-alukan oleh aktivis pendesak pembaharuan pilihan raya yang selama ini membidas kesalahan seumpamanya.

Kes seumpamanya sering menyaksikan polis dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) saling menuding jari berhubung penguatkuasaan.

Wong mengesahkan dia dipanggil hadir ke ibu pejabat polis Seremban esok berhubung majlis makan malam yang diadakan di Bandar Ekar dalam tempoh kempen pilihan raya kecil (PRK) Rantau.

Bagaimanapun, Wong berkata, timbul salah faham dan mendakwa majlis makan malam itu adalah program mengutip dana dan bukannya bagi menjamu pengundi.

"SPR sudah membuat laporan polis berhubung perkara itu meskipun saya sudah membuktikan bahawa majlis makan malam itu diadakan bagi menjual tiket kepada penduduk Rantau dan bukannya bagi menjamu mereka (pengundi).

"Saya akan hadir ke ibu pejabat polis esok dengan peguam Pemuda PKR CM Chiew pada pukul 11 pagi, dan akan mengadakan sidang media di luar selepas kenyataan saya diambil," katanya dalam satu kenyataan.

Ketika dihubungi selepas itu, Wong memberitahu Malaysiakini bahawa majlis makan malam itu dihadiri oleh kira-kira 1,000 orang termasuk pengundi dan anggota parti.

Menurutnya, harga tiket menghadiri majlis makan malam itu adalah RM30 untuk seorang, atau RM300 untuk satu meja yang dikhususkan untuk 10 orang.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS