Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K'jaan digesa teliti semula kriteria pemberian elaun bekas tentera

Persatuan Veteran Tentera Tidak Berpencen Malaysia (PVTTBM) berharap Kementerian Pertahanan meneliti semula peraturan dan kriteria pemberian elaun kepada bekas tentera.

Presiden PVTTBM cawangan Perlis, Ismail Abidin berkata, antara lain kajian harus dilakukan semula bagi bekas tentera yang diberhentikan mengikut Peraturan 49(l) Akta Tentera dan Tentera Udara 1961- ‘Penangguhan Perkhidmatan Tidak Diperlukan’.

“Saya berharap kerajaan boleh meneliti kembali veteran yang diberhentikan di bawah peraturan tersebut.

“Kerana apabila diberhentikan, mereka (askar) tidak akan diangkat sebagai veteran tetapi hanya bekas tentera. Jadi tidak dapat elaun sara hidup.

“Kalau boleh selepas tamat tiga tahun perkhidmatan, saya minta rekod mereka dibersihkan supaya dapat merasai kemudahan seperti veteran lain,” katanya.

Menurut beliau, peraturan tersebut diadakan atas kesalahan tentera yang berkhidmat tidak cukup tempoh serta kesalahan seperti tidak hadir dalam melaksanakan tugas.

Kuota haji

Dalam pada itu, Ismail juga mencadangkan agar pejabat hal ehwal veteran diadakan di setiap negeri.

“Ramai askar veteran tinggal di pedalaman, jadi sukar kerana kami hanya mempunyai pejabat di beberapa negeri sahaja.

“Kalau boleh diadakan bersama pengarah dan kakitangan, ia akan memudahkan veteran untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sesi meja bulat bersama wakil PVTTBM seluruh negeri di Kuala Lumpur hari ini.

Dalam sidang media tersebut, beliau juga menggesa agar Kementerian Pertahanan mengembalikan faedah buat pesara tentera yang disediakan sebelum ini.

“Saya minta kembalikan kuota haji seperti yang diberi kerajaan lama, kuota tersebut diberi kepada 200 veteran tentera.

“Saya sudah panjangkan isu ini kepada Kementerian Pertahanan, namun saya merasakan mereka masih dalam perbincangan,” katanya.

Pada 1 April lalu, Menteri Pertahanan Mohamad Sabu mengumumkan Putrajaya akan memberikan pembayaran insentif RM500 kepada veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menurut Mohamad, pemberian secara sekali sahaja itu akan diberikan menjelang hari raya Aidilfitri nanti melibatkan seramai 159,368 orang veteran ATM berpencen dan tidak berpencen.

Sementara itu, mengulas lebih lanjut, Ismail meluahkan rasa syukur atas usaha kerajaan dalam menjaga kebajikan tentera veteran yang berpencen dan tidak berpencen.

“Saya ucapkan terima kasih kepada Menteri kita Mohammad Sabu kerana ia sedikit sebanyak membantu ahli askar veteran,” katanya.

Lihat Komen
ADS