2 lelaki warga asing maut di tepi landasan komuter
Dua lelaki dipercayai warga asing maut berhampiran laluan komuter Sungai Buloh-Kepong di Kuala Lumpur petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, kedua-dua lelaki terbabit dipercayai warganegara Myanmar berusia lingkungan 30-an itu difahamkan menceroboh laluan komuter di Km 371.7 untuk dijadikan jalan pintas ke kawasan berhampiran.
Menurut kenyataan Keretapi Tanah Melayu Malaysia Bhd (KTMB) semalam, komuter dalam perjalanan ke Stesen Kepong dari Stesen Sungai Buloh itu membawa 30 orang penumpang ketika kejadian.
Kenyataan itu menyebut pemandu komuter memberhentikan tren sejurus menyedari kelibat mangsa yang terpelanting di kedua-dua bahu landasan.
Susulan itu, polis dimaklumkan mengenai kejadian dan tiba di lokasi kejadian tidak lama selepas menerima laporan tersebut.
Kedua-dua mayat dihantar ke Hospital Selayang untuk dibedah siasat.
KTMB juga telah menyediakan komuter gantian bagi membolehkan semua penumpang menyambung perjalanan mereka.
- Bernama

