Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Sebutan semula tiga kes pengubahan wang haram RM47 juta Najib 17 Mei
Diterbitkan:  Apr 17, 2019 12:28 PM
Dikemaskini: 10:30 AM

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini menetapkan 17 Mei untuk sebutan semula kes bekas perdana menteri, Najib Razak yang didakwa atas tiga pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram berhubung dana SRC International (SRC) berjumlah RM47 juta, lima tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan menetapkan tarikh itu selepas pengurusan kes berkenaan di hadapannya yang dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff dan peguam Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib, 66.

Ishak memaklumkan bahawa kedua-dua pihak terikat dengan perbicaraan kes lain sehingga 10 Mei.

“Pihak kami memohon tarikh lain kerana terikat dengan perbicaraan kes SRC (Najib) sehingga 10 Mei ini,” katanya.

Najib kini sedang dibicarakan atas tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana SRC International berjumlah RM42 juta di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Mengikut ketiga-tiga pertuduhan berkenaan, Najib didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan menerima wang keseluruhannya RM47 juta, iaitu hasil daripada aktiviti haram dalam tiga akaun AmPrivate Banking miliknya.

Najib dituduh melakukan kesemua kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, No 55, Jalan Raja Chulan pada 8 Julai 2014 mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 8 Februari lalu, Najib didakwa di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan itu, bagaimanapun kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi selepas pihak pendakwaan memohon kes itu dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

- Bernama

Lihat Komen
ADS