Pengerusi Jawatankuasa Sains dan Teknologi Johor Tan Hong Pin hari mengesahkan namanya akan digugurkan dari barisan baru anggota exco kerajaan negeri.

Adun Skudai itu berkata beliau tahu mengenai rombakan exco itu pada hari Isnin, sehari selepas Adun Bukit Kepong Dr Sahruddin Jamal mengangkat sumpah sebagai menteri besar ke-17 Johor di Istana Bukit Serene.

“Saya telah dimaklumkan bahawa saya akan digantikan,” katanya kepada Bernama menerusi aplikasi Whatsapp di Johor Bahru hari ini.

Semasa ditanya langkah beliau selanjutknya, setiausaha DAP Johor itu berkata beliau akan serahkan perkara itu kepada kepimpinan parti.

“Saya dipilih oleh pengundi kerana mereka mahukan seorang Adun, bukan seorang exco, jadi saya akan terus berkhidmat kepada rakyat sebagai Adun,” tambahnya.

Tan merupakan salah satu daripada dua nama yang dilaporkan oleh sebuah portal berita atas talian yang akan digugurkan daripada senarai exco, semalam.

Satu lagi nama adalah Mazlan Bujang, pengerusi jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan Johor, dari Bersatu.

Terdahulu hari ini Sahruddin berkata barisan baru anggota exco kerajaan negeri akan diumumkan menjelang akhir minggu ini.

- Bernama