Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pembaharuan lebih besar dalam pendidikan negara - Mahathir
Diterbitkan:  Apr 18, 2019 6:34 PM
Dikemaskini: 10:34 AM

Kerajaan akan meningkatkan usaha bagi melaksanakan pembaharuan lebih besar dalam sistem pendidikan yang antara lain menyentuh bahasa Inggeris, kualiti guru dan kebolehpasaran graduan, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini.

Beliau berkata pembaharuan itu dijangka dapat dilaksanakan sebaik sahaja Pasukan Petugas Khas selesai mengkaji dasar pendidikan secara keseluruhan, dari peringkat pra sekolah hingga ke pendidikan tinggi.

"Selain itu, kerajaan juga telah meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) untuk memberi lebih banyak ruang dan kebebasan kepada pelajar," katanya semasa menyampaikan ucaptama pada Mesyuarat Agung Tahunan dan Majlis Makan Tengah Hari Dewan Perniagaan Amerika-Malaysia (AMCHAM), di Kuala Lumpur.

Dr Mahathir juga menegaskan bahawa pembangunan bakat adalah penting untuk masa depan bersama, dan sebagai sebuah negara kecil seperti Malaysia, setiap orang dianggap tidak kurang penting ke arah peningkatan produktiviti negara.

Beliau berkata pembangunan bakat di Malaysia, sama ada menerusi program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang dipacu oleh industri pendidikan tradisional atau berstruktur, atau latihan dan pembangunan secara langsung, adalah usaha bersama yang memerlukan kerjasama antara sektor awam dan swasta.

"Kami tahu bahawa bakat akan menjadi pembeza utama apabila pelabur asing membuat keputusan untuk melabur pada tahun-tahun akan datang, dan kami memahami bahawa kami, kerajaan, mesti melengkapkan generasi muda dengan kecekapan teras untuk mempersiapkan mereka ke alam industri esok," katanya.

Mahathir berkata selain TVET, graduan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) akan ditingkatkan dengan menjadikannya lebih mudah diakses, eksperiential dan bermanfaat kerana mereka juga akan memenuhi permintaan masa depan.

Sementara itu, beliau berkata Malaysia telah melancarkan Dasar Kebangsaan mengenai Industri 4.0 atau dikenali sebagai Industry4WRD, dan negara mengiktiraf peranan penting oleh pelabur asing dari Amerika Syarikat dalam memindahkan kemahiran dan teknologi canggih ke Malaysia ketika ia melalui transisi di sepanjang landasan pembangunan .

"Kami menyedari bahawa program komuniti AMCHAM telah membangunkan perniagaan kecil Malaysia apabila pembekal, memberi tunjuk ajar keusahawanan kepada belia Malaysia sementara sukarelawan dari firma berteknologi tinggi anda telah memberi bimbingan kepada pelajar Malaysia dalam Sains dan Matematik.

- Bernama

Lihat Komen
ADS