Paling Popular
Terkini

Ketua pembelaan Najib Razak berkata kerja-kerja membaiki tangki air di rumah bekas perdana menteri itu di Jalan Langgak Duta adalah satu keperluan.

Kata Muhammad Shafee Abdullah ia bukanlah satu projek mewah kerana anggota parlimen Pekan terbabit lebih kerap mendiami rumah berkenaan berbanding di Putrajaya.

"Renovation (pengubahsuaian) yang dibuat adalah renovation yang harus dibuat kerana tangki air memang tak ada langsung.

"Lebih daripada 20 orang tinggal dalam rumah itu termasuk para pembantu. Jadi ini dikatakan bukan projek mewah. Ini projek yang harus dibuat.

"Kalau nak ambil kira yang mana dia lebih kerap tinggal, dia lebih kerap tinggal di rumah no 11 (Langgak Duta)," katanya kepada pemberita di luar Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.

Semasa perbicaraan tadi isu kerja-kerja pengubahsuaian kediaman Najib di Kuala Lumpur itu dibangkitkan oleh pihak pendakwaan melalui beberapa saksi.

Antara isu yang dibangkitkan ialah bayaran dibuat Najib kepada kontraktor terbabit menggunakan cek bernilai RM56,500 bertarikh 12 Februari 2015.

Sekeping cek lain berjumlah RM100,000 dikeluarkan untuk kos pengubahsuaian rumahnya itu kepada syarikat Renovation ABS Trend Master Sdn Bhd pada tarikh yang sama.

Najib, 66, didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung Isnin.

Lihat Komen
ADS