BERITA Malaysiakini

'Kontraktor perumahan Felda ditamat kontrak sebab langgar terma'

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

FGV Holdings Berhad (FGV) mendakwa anak syarikatnya, Felda Properties Sdn Bhd (Felda Properties) tidak menerima sebarang tuntutan bernilai RM4 juta daripada Syarikat Abu Johan Abu Backer (Ajab), seperti yang didakwa syarikat pembinaan itu.

Pada masa sama, FGV juga mendakwa Ajab - kontraktor bagi projek perumahan warga Felda di Chuping, Perlis - melanggar syarat kontrak.

"(Ajab) dilantik untuk menyiapkan baki kerja projek di Chuping yang gagal disiapkan kontraktor utama, Gema Kukuh Sdn Bhd.

"Namun pihak Ajab didapati melanggar syarat dalam perjanjian kontrak sehingga kontraknya ditamatkan oleh Felda Properties pada 9 Julai 2018," kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Haris Fadzilah Hassan dalam kenyataan, hari ini.

Semalam pengarah Ajab, Abu Johan Aboo Backer mendakwa Felda Properties gagal melangsaikan baki bayaran RM4 juta yang tertangguh sejak sembilan bulan lalu selepas kontrak firmanya ditamatkan.

Dia berkata telah menggunakan banyak saluran untuk membawa perkara itu dan tidak menolak mengambil tindakan undang-undang selepas ini.

Mengulas lanjut, Haris berkata FGV hanya akan memenuhi tuntutan yang sah dan mematuhi syarikat kontrak.

“FGV melihat kenyataan media pihak Ajab adalah sebagai dakwaan tidak berasas dan ianya memberi kesan negatif kepada syarikat,” katanya.

Berkenaan penamatan kontrak itu, Abu Johan semalam berkata ia dibuat atas alasan kelewatan tetapi berkata ia bukan berpunca daripada pihaknya tetapi oleh konsultan, Felda Engineering Services Sdn Bhd.

Dia mendakwa ia menyebabkan kelulusan daripada Indah Water Konsortium (IWK) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) hanya diperolehi pada 2017, walaupun kontrak telah bermula pada Julai 2013.

Dia juga mendakwa wujud konflik kepentingan apabila Felda Properties dan Felda Engineering memiliki pengarah yang sama, menyukarkan proses rundingan melibatkan syarikatnya, syarikat pemilik dan konsultan.

“Jadi bila berjumpa bincang sesuatu, macam mana pusing pun kontraktor yang akan kena," kata Abu Johan.