Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Desentralisasi pilihan terbaik untuk pertumbuhan Malaysia

ULASAN | Kelas menengah yang semakin berkembang di Malaysia menaruh harapan besar ke atas pembangunan ekonomi negara.

Namun negara tidak akan bebas daripada ‘perangkap pendapatan sederhana’ (middle-income trap) dan tidak akan mencapai pertumbuhan yang merangkumi semua lapisan masyarakat jika terus ditadbir di bawah dasar-dasar kerajaan sekarang.

Untuk menggerakkan pembangunan negara ke peringkat selanjutnya, langkah-langkah reformasi yang bakal melahirkan pemencaran kuasa (desentralisasi) dalam pembuatan keputusan perlu diambil untuk membina ekonomi yang diterajui oleh ilmu pengetahuan (knowledge-led economy).

Kerangka polisi Malaysia kini berakarumbikan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan pada 1970 di samping teman sosial dan politiknya iaitu Ketuanan Melayu.

DEB berjaya membangunkan kelas menengah orang Melayu yang berpengetahuan, berkemahiran dan berkeyakinan terhadap identiti mereka.

Akan tetapi, ia juga sudah menjadi pengetahuan umum bahawa kedua-dua dasar yang digubal mengikut keperluan semasa suatu ketika dahulu itu tidak mampu untuk mentransformasi Malaysia menjadi sebuah negara maju.

Untuk mencapai aspirasi tadi, reformasi perlu dilakukan dengan segera dalam tiga bidang ekonomi utama.

Secara umumnya, setiap bidang itu perlu diperkenalkan suatu komponen reformasi yang sama, iaitu pemantapan secara berhati-hati dasar pemencaran kuasa dalam proses pembuatan keputusan.

Ada pertimbangan politik

Pertama, struktur pentadbiran negara menyekat pembuatan dasar secara inovatif dan menghalang pemantauan yang berkesan. Kerajaan persekutuan berkembang menjadi jauh lebih besar dan lebih kaku berbanding kerajaan negeri, dengan kuasa besar yang tidak setimpal.

Belanjawan dan kemampuan berbelanja yang ketara menonjolkan ketidakseimbangan di antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri.

Kerajaan persekutuan berkuasa dari segi undang-undang untuk mengenakan cukai pendapatan dan cukai jualan.

Sebaliknya, kerajaan negeri perlu bergantung kepada urus niaga berkaitan dengan tanah dan juga kutipan cukai ke atas kegiatan kecil-kecilan seperti lesen penjaja untuk memperolehi pendapatan sendiri.

Selain itu, kebanyakan perkhidmatan awam disediakan melalui cawangan-cawangan kementerian yang beroperasi di peringkat negeri, dan bukannya agensi kerajaan negeri.

Perbelanjaan negeri ditentukan oleh peruntukan kewangan dari kerajaan perseketuan kepada kerajaan negeri. Pada masa sama jumlah peruntukan itu turut bergantung kepada pertimbangan politik.

Di bawah kerajaan BN, negeri-negeri yang dikuasai pembangkang menerima peruntukan yang jauh lebih rendah berbanding negeri ditabdir BN. Kerajaan-kerajaan negeri juga dihalang daripada membuat pinjaman untuk membiayai projek-projek pembangunan.

Itu bermakna mereka tidak dapat mencari dana untuk membina prasarana yang diperlukan bagi merentasi kekangan pengeluaran yang dihadapi oleh industri tempatan.

Untuk mencapai pertumbuhan, kerajaan negeri harus diberi kuasa untuk merancang dan melaksanakan strategi pembangunan masing-masing.

Sementara itu, untuk memastikan pemencaran kuasa yang berkesan, setiap kerajaan negeri perlu ada perkhidmatan awam tersendiri dan tidak bergantung kepada kakitangan kerajaan persekutuan.

Persaingan tak adil

Negeri-negeri juga perlukan peratusan hasil cukai yang lebih tinggi berdasarkan faktor seperti tahap pembangunan dan sumbangan kepada hasil cukai.

Mereka patut dibenarkan untuk membuat pinjaman bagi membiayai projek-projek prasarana tempatan – dengan memberikan komitmen bahawa tidak akan meminta penyelamatan kewangan (bailout) daripada kerajaan perseketuan bagi untuk selamatkan projek-projek tersebut – dan juga diberikan tanggungjawab penting yang kini dipegang oleh kementerian-kementerian persekutuan.

Tugas penting kedua ialah membaharukan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC). GLC menghimpit ruang sektor swasta dan merosotkan dinamik ekonomi.

Selain itu, GLC juga membolehkan peningkatan gejala rasuah yang seterusnya memburukkan ketidaksamarataan pendapatan.

Secara teorinya, GLC berupaya mencapai prestasi yang baik, tetapi dari segi praktis, ini tidak berlaku kerana fenomena pegawai-pegawai memperalatkan GLC demi naungan politik dan rasuah peribadi tidak dapat dielakkan.

Sesungguhnya, GLC adalah makhluk politik, bukan alat ekonomi.

Gambar hiasan

Persaingan di antara GLC dan swasta bersifat tidak adil dan memudaratkan pertumbuhan secara keseluruhannya. Tidak kira betapa tidak cekap sesebuah GLC itu, mereka sentiasa boleh mengharapkan penyelamatan kewangan daripada kerajaan.

GLC juga menjejaskan dinamik ekonomi apabila mereka membeli pesaing-pesaing mereka yang lebih cekap dalam sektor swasta.

Lebih teruk lagi, GLC mencegah pembangunan komuniti perniagaan Melayu yang dinamik apabila usahawan yang berkebolehan ditarik keluar dari keusahawanan swasta untuk mengisi pekerjaan-pekerjaan selesa dan sepanjang hayat dalam GLC.

Pengurangan saiz sektor berkaitan kerajaan menerusi penswastaan adalah mustahak demi kecekapan ekonomi, kebertanggungjawaban (akauntabiliti) politik dan kesamarataan pendapatan.

Namun, pemilihan pembeli GLC harus terhad kepada dua pertimbangan sahaja, iaitu saiz tawaran dan peningkatan persaingan dalam industri.

Layan tak sepatutnya

Adalah lebih penting untuk menjalankan proses penswastaan secara terancang dan telus daripada secara pantas.

Tugas reformasi ekonomi penting yang ketiga ialah pempelbagaian dan pengembangan saiz sistem perbankan. Struktur monopoli kewangan merosakkan prestasi ekonomi dan memburukkan lagi ketidaksamarataan pendapatan dengan menyekat operasi perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Krisis kewangan Asia yang berlaku pada 1997 meyakinkan kerajaan bahawa sistem perbankan akan kurang terdedah kepada krisis sekiranya pihak berkuasa dapat memantau bank dengan lebih mudah.

Akibatnya, bank-bank yang lebih kecil dipaksa untuk bergabung menjadi 10 bank besar pada 2000.

Gambar hiasan

Susulan langkah tersebut, syarikat pelaburan kerajaan muncul menjadi pemegang saham utama dalam kebanyakan bank perdagangan sehingga mewujudkan monopoli sektor perbankan oleh kerajaan.

Bank-bank itu bukan sahaja lambat menerima kaedah pembayaran yang lebih baik dan menawarkan produk-produk kewangan baru, namun juga tidak memberikan layanan yang sepatutnya kepada pelangan yang terdiri daripada peniaga kecil.

Mereka juga bersikap berat sebelah dan berpihak kepada GLC dalam hal peminjaman.

Ia berlaku kerana jumlah bank yang ada kecil, selain luasnya kawalan kerajaan dalam kalangan bank-bank terbesar di negara ini.

Hidupkan bank kecil, sederhana

Satu keburukan parah kesan penggabungan bank adalah PKS Malaysia mula menghadapi kesulitan untuk meminjam modal daripada bank-bank besar, sama dengan pengalaman dunia apabila kebanyakan pengusaha PKS mendapatkan modal pelaburan daripada bank-bank kecil dan sederhana.

Tindak balas kerajaan Malaysia ialah menubuhkan Bank Perusahaan Kecil dan Sederhana (Bank SME) milik kerajaan pada 2005.

Akan tetapi Bank SME tidak dapat memenuhi keperluan modal sektor PKS. Ia juga mempunyai nisbah pinjaman tidak berbayar yang tertinggi dalam industri perbankan.

Pertumbuhan lembab sektor PKS menunjukkan bahawa perniagaan baru orang Melayu tidak muncul manakala ketidaksamarataan pendapatan semakin merunsingkan.

Reformasi sektor perbankan bermakna menghidupkan semula bank bersaiz kecil dan sederhana, mengurangkan pegangan saham kerajaan dalam perbankan, dan selanjutnya menghapuskan sekatan ke atas bank asing dan aktiviti-aktiviti mereka.

Pada dasarnya, DEB ialah "Ketuanan Pemusatan Kuasa" (Supremacy of Centralisation) dalam bidang ekonomi yang berupa-bentuk "ketuanan kerajaan Persekutuan" dalam bidang pentadbiran, "Ketuanan GLC" dalam bidang pengeluaran dan "Ketuanan Bank Monopoli" dalam sektor kewangan.

DEB tidak berupaya menggerakkan seluruh kekuatan minda Malaysia demi penciptaan ilmu kerana ia menghalang kecemerlangan institusi sosial ekonomi daripada diperkasakan dan menyumbang kepada perhijrahan cendekiawan serta modal.

Untuk membebaskan Malaysia daripada perangkap pendapatan sederhana, Ketuanan Pemusatan Kuasa harus disingkirkan daripada kerangka dasar untuk memberi jalan kepada pertumbuhan yang diterajui oleh ilmu pengetahuan.


WING THYE WOO ialah presiden Institut Asia-Tenggara Jeffrey Cheah dan pengarah Pusat Pembangunan Mampan Jeffrey Sachs di Universiti Sunway dan profesor ekonomi di Universiti California di Davis, AS.

Artikel ini adalah diterjemahkan dari artikel bahasa Ingeris Decentralisation the best bet for Malaysia” di East Asia Forum, pada 24 Mac 2019.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Lihat Komen
ADS