Seorang buruh binaan warga Indonesia hari ini dipenjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret di Sepang atas tuduhan memiliki sebutir peluru, dua kelongsong peluru serta sebilah pisau lipat ketika berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada Ahad lepas.

Majistret A. Akhiruddin@Boy Acho menjatuhkan hukuman itu ke atas Saifullah, 33, dari Aceh selepas dia mengaku bersalah memiliki ketiga-tiga barangan itu di dalam beg galasnya yang berwarna hitam/hijau di mesin pengimbas No. 7, Perlepasan Antarabangsa klia2 pada pukul 5 pagi, 14 April lalu.

Bagi kesalahan memiliki sebutir peluru dan dua kelongsong peluru, tertuduh dijatuhi hukuman penjara empat bulan manakala bagi kesalahan memiliki pisau lipat pula, dia dikenakan hukuman penjara dua bulan.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu serentak bermula dari tarikh tangkapan pada 14 April lepas.

Pendakwaan bagi kes memiliki peluru dan dua kelongsong peluru dilakukan mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000, atau kedua-duanya.

Bagi kesalahan memiliki pisau lipat, dia didakwa mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 yang boleh didenda maksimum RM1,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya.

Peguam Zaflee Pakwanteh yang mewakili Saifulah memohon hukuman ringan atas alasan anak guamnya telah memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis semasa ditahan.

Beliau juga memaklumkan itu kesalahan pertama yang dilakukan anak guamnya selain tidak tidak arif dengan peraturan di lapangan terbang.

"Peluru itu ditemui di kawasan pembinaan dan anak guam saya menyimpannya sebagai kenangan. Pada hari kejadian, beliau mahu bergegas pulang ke Aceh kerana anaknya sakit dan itu juga adalah kali pertama dia menaiki kapal terbang," katanya.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Maziani Mat Nor dari Ibu Pejabat Polis Daerah KLIA.

- Bernama