Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MB Pahang: Kadar premium baru tanah munasabah
Diterbitkan:  Apr 19, 2019 4:37 PM
Dikemaskini: 8:37 AM

Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail hari ini memberi jaminan penilaian semula kadar premium tanah akan mengambil kira aspek kemampuan rakyat.

Katanya kadar sedia ada akan diperhalusi dan dipastikan munasabah selain tidak berlaku kenaikan mendadak.

"Kita akan perhalusi (kadar), jika terlalu rendah mungkin akan dinaikkan sedikit dan jika kadarnya berpatutan, ia akan dikekalkan. 

"Tapi ia dibuat dengan munasabah,” katanya pada sesi soal jawab di persidangan Dewan Undangan Negeri Pahang di wisma Sri Pahang, di Kuantan hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Lee Chin Chen (PH-Bilut) yang ingin tahu sama ada kerajaan negeri telah menetapkan kadar premium baru susulan aduan penduduk yang mereka perlu kembali membayar premium tanah bermula tahun ini.

Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata keputusan untuk mengecualikan bayaran premium yang dibuat pada 2012 telah terbatal dengan keputusan mesyuarat Exco 2016 yang mencadangkan supaya kadar premium baru ditetapkan.

"Keputusan sebelum itu dibatalkan kerana kita merasakan ia tidak mendatangkan hasil sedangkan kerajaan negeri memerlukan sedikit hasil,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Abd Rahim Muda berkata terdapat enam tapak perumahan Projek Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) di Pahang yang memerlukan kajian semula kerana telah lama terbengkalai.

Menjawab soalan Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin (PAS-Tahan), Abd Rahim berkata tapak itu terletak di Jengka 1, Jengka 6, Jengka 11, Jengka 12 dan Bukit Tajau di Maran serta Kota Gelanggi di Jerantut.

"Kelulusan pembangunan daripada pihak berkuasa tempatan juga telah tamat dan permohonan semula perlu dikemukakan untuk tujuan pembinaan semula," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS