Malaysiakini BERITA

K'jaan belum putuskan beri pampasan bagi kawasan tadahan air

Anne Muhammad  |  Diterbitkan

Kerajaan belum membuat sebarang keputusan berhubung cadangan memberi pampasan kepada mana-mana negeri yang kawasan hutan simpan dan hutan rizab hidupan liarnya digunakan sebagai kawasan tadahan air.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar berkata, semua negeri mahukan pampasan namun sama ada kerajaan mampu memberikannya adalah isu berbeza.

“Kita belum buat keputusan untuk memberi pampasan kepada mana-mana negeri berhubung isu tersebut.

“Semua kerajaan negeri mahu pampasan tetapi sama ada kita boleh memberi pampasan atau tidak, itu perkara lain,” katanya kepada pemberita semasa menghadiri Hari Bumi di Taman Tugu, Kuala Lumpur, hari ini.

Xavier berkata demikian mengulas cadangan negeri Pahang yang mahu menuntut pampasan sebanyak RM17.1 bilion daripada kerajaan persekutuan bagi kawasan hutan simpan dan hutan rezab hidupan liar yang digunakan sebagai kawasan tadahan air untuk mensejahterakan rakyat luar dari Pahang.

Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bagi hutan simpan dan hutan rizab hidupan liar yang dijadikan kawasan tadahan air, kos melepas bagi kerajaan negeri adalah berjumlah RM16.4 bilion.

Sementara itu, Xavier menggalakkan kerajaan negeri mengambil peluang meningkatkan ekonomi dengan menjadikan hutan sebagai sumber ekonomi baru di samping memeliharanya.

“Kerajaan kini sedang merancang untuk meneruskan industri perhutanan dan menjadikan hutan sebagai sumber ekonomi baru.

“Saya fikir kerajaan negeri perlu mengambil peluang ini. Ini adalah model perniagaan baru yang lumayan,” katanya.