Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
2 warga asing dibelasah kerana cabul pemandu Grab wanita

Dua lelaki warga asing dibelasah orang ramai sebelum mereka ditahan kerana mencabul seorang pemandu Grab wanita dalam kejadian di Bukit Minyak, di Bukit Mertajam, Pulau Pinang semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata dalam kejadian pukul 5.30 petang itu, dua lelaki berusia 23 dan 29 tahun berkenaan menggunakan perkhidmatan Grabcar dipandu seorang wanita berusia 27 tahun kerana mahu pulang ke rumah sewa di Taman Juru.

"Pemandu wanita itu mengambil dua lelaki berkenaan yang dipercayai dalam keadaan mabuk di Jalan Stesen Bukit Mertajam dan mangsa meminta mereka duduk di kerusi penumpang belakang.

"Ketika dalam perjalanan, lelaki berusia 23 tahun telah bertindak melangkah duduk di kerusi penumpang bahagian hadapan dan cuba dihalang mangsa namun tidak berjaya," katanya hari ini.

Menurutnya, pemandu wanita itu yang bimbang kejadian tidak diingini berlaku bertindak memberhentikan keretanya di Jalan Betik dan meminta lelaki berkenaan untuk keluar dan duduk di kerusi penumpang belakang.

Nik Ros Azhan berkata ketika berada di Jalan Song Ban Kheng, lelaki itu memegang dan mencium tangan mangsa serta menarik badan wanita berkenaan sebelum meramas dadanya.

Katanya kejadian itu dihalang oleh mangsa, namun suspek sekali lagi melakukannya sebelum wanita berkenaan memberi amaran untuk menghantar mereka ke balai polis berhampiran.

"Selepas diberi amaran, lelaki itu tidak lagi bertindak sedemikian sehinggalah rakannya muntah dan dia bertindak agresif dengan menarik badan wanita berkenaan dengan kuat untuk memeluk mangsa serta mencabulnya," katanya.

Beliau berkata pemandu wanita itu bertindak memberhentikan keretanya di Jalan Bukit Minyak dan keluar untuk meminta bantuan orang ramai sebelum mereka membelasah dua suspek sehingga cedera di muka.

Katanya dua lelaki itu kemudiannya diserahkan kepada polis sebelum mereka dibawa ke Hospital Bukit Mertajam untuk rawatan lanjut.

"Dua lelaki itu direman untuk siasatan lanjut dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS