Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Laporan: Datuk bandar Ipoh 'hilang', mungkin dipecat
Diterbitkan:  Apr 20, 2019 4:29 PM
Dikemaskini: 8:29 AM

Zamri Man dilaporkan bakal disingkir daripada jawatan datuk bandar Ipoh selepas meninggalkan kerja tanpa notis (awol) selepas beberapa bulan.

Menurut laporan The Star Online yang memetik exco kerajaan tempatan Paul Yong Choo Kiong, Zamri hanya menyerahkan sijil cuti sakit selepas dua bulan menghilangkan diri.

"Situasi berkenaan datuk bandar ini kali pertama (berlaku). Seolah-olah dia hilang.

"Menurut undang-undang, datuk bandar boleh mengambil cuti sakit sehingga 90 hari. (Tetapi) tempoh tiga bulan ini juga sudah habis (digunakannya)," katanya seperti dipetik The Star Online, hari ini.

Yong berkata beliau pernah ke rumah Zamri tetapi tidak menemuinya.

"Saya hanya tahu dia tidak sihat daripada setiusaha PBT (pihak berkuasa tempatan) dan Majlis Bandaraya Ipoh, tetapi tiada maklumat berkenaan keadaan dan lokasinya.

"Saya masih tak dapat hubunginya. Saya benar-benar tak tahu apa masalah dia," katanya lagi seperti dipetik.

Menurut laporan itu, Zamri yang dilantik menjadi datuk bandar pada 2015 dilihat kali terakhir di majlis awam pada satu acara berbasikal pada Ogos tahun lalu.

Lihat Komen
ADS