Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
KDN sanggah Suhakam: Pindaan Sosma, APA akan dibentang
Diterbitkan:  Apr 20, 2019 5:26 PM
Dikemaskini: 9:26 AM

Kementerian Dalam Negeri (KDN) menafikan kenyataan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) bahawa kerajaan berpatah balik dalam soal pemansuhan atau pindaan undang-undang zalim.

KDN berkata rang undang-undang bagi pindaan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) dan Akta Perhimpunan Aman 2012 (APA) telah selesai.

"RUU APA telah mendapat kelulusan Jabatan Peguam Negara dan akan dibawa ke jemaah menteri untuk diputuskan, dan dijangka dibentang dalam sidang Dewan Rakyat akan datang.

"RUU pindaan Sosma masih dalam semakan Jabatan Peguam Negara. Ia juga dicadang untuk dibentang dalam sesi Dewan Rakyat akan datang," kata KDN dalam kenyataan hari ini.

Dalam sidang media 19 April lalu, Suhakam berkata pihaknya "terkejut" apabila PH memutuskan untuk tidak mengubah beberapa undang-undang zalim, walaupun telah menubuhkan pasukan petugas khas untuk mengkajinya.

"Apa yang mengejutkan, sudah tentu, kami mempunyai banyak mesyuarat tetapi kemudiannya kami dapati hasilnya mereka tidak berniat mahu mengubah undang-undang ini," dakwa Pesuruhjaya Suhakam Aishah Bidin.

Dalam Manifesto PRU lalu, Pakatan Harapan (PH) berjanji memansuhkan undang-undang zalim atau peruntukan-peruntukan zalim dalam beberapa akta.

Selain Sosma dan APA, undang-undang lain yang dimaksudkan ialah Akta Pencegahan Keganasan 2015 (Pota), Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Poca), Akta Hasutan 1948 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (AMCP).

Sebelum ini KDN telah menubuhkan jawatankuasa khas kajian undang-undang dan jawatankuasa teknikal untuk mengkaji undang-undang itu.

Mengulas lanjut, KDN berkata cadangan pindaan atau pemansuhan empat akta itu masih di peringkat perbincangan dengan Jabatan Peguam Negara dan agensi berkaitan.

"Keputusan untuk meminda atau memansuhkan akta-akta ini perlu dibuat dengan teliti dan dikaji dengan mendalam supaya kepentingan keselamatan negara tidak terjejas," kata KDN lagi.

Lihat Komen
ADS