Tujuh orang yang menunjukkan tanda-tanda jangkitan saluran pernafasan dari kawasan yang diserang selesema burung di Jalan Genting Klang, Kuala Lumpur, telah dimasukkan wad di Hospital Kuala Lumpur dan kini menjalani ujian bagi menentukan sama ada mereka dijangkiti virus maut H5N1.

Menteri Kesihatan Datuk Dr Chua Soi Lek berkata keputusan ujian ke atas dua orang dewasa dan lima kanak-kanak berusia antara dua bulan dan 12 tahun akan diketahui selewat-lewatnya pag esok.

"Kami telah menghantar 11 pasukan ke kawasan itu dan setakat ini mereka telah memeriksa 161 rumah dan menginterbiu atau memeriksa 916 penduduk di situ," katanya pada satu sidang akhbar di Putrajaya.

Menurut laporan Bernama, Menteri itu berkata mulanya 10 orang mengadu mendapat demam, sakit tekak atau batuk tetapi selepas dirujukkan ke hospital, tiga daripada mereka didapati sihat dan dibenarkan pulang.

Empat puluh ekor ayam kampung di kawasan itu mati diserang virus H5N1 dan pemeriksaan intensif dari rumah ke rumah telahpun bermula dalam lengkongan 300 meter kawasan itu. Kampung-kampung terlibat ialah Wirajaya, Kampung Pasir Wardieburn, Kampung Danau Kota dan Kampung Belakang JPJ.

Tujuh yang dimasukkan ke HKL terdiri dari tiga Melayu dan empat India, kata beliau, sambil menyatakan dua dewasa itu berusia antara 52 dan 57 tahun.

"Saya hendak tegaskan bahawa mereka bukan disahkan kes selesema burung," katanya sambil mengingatkan media jangan salah lapor mengenai situasi itu atau memohon mengambil gambar atau menginterbiu mereka di hospital.

Beliau berkata pengawasan aktif dalam lengkongan 300 meter kawasan terjejas akan dilakukan selama tujuh hari sementara pengawasan pasif dikendalikan di luar kawasan berkenaan selama dua minggu.

Pengawasan luar kawasan terjejas melibatkan menasihati penduduk supaya menjalani pemeriksaan kesihatan jika mereka demam, sakit tekak atau batuk dan menyerahkan ayam, itik dan unggas jenis lain kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

Menjawab soalan, Dr Chua berkata belum ada perintah karantina dikeluarkan setakat ini. Menteri itu berkata beliau tidak mempunyai maklumat mengenai jumlah tepat rumah dalam lengkongan 300 meter.

"Kami akan liputi semua rumah dan lebih baik, jika penduduk yang mengalami simptom seperti selesema, melaporkannya kepada pihak berkuasa," katanya.

Beliau berkata, bilik gerakan di kawasan terlibat telah ditubuhkan bersama oleh kementeriannya dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

Katanya, tujuh penduduk itu dirawat di wad khas dan beliau yakin KLH mampu menangani kes-kes selesema burung jika berlaku.

Selain itu, kata beliau, Pusat Penyelidikan Perubatan (IMR) telah diarah bersiap sedia menerima sampel klinikal untuk ujian.

Menjawat soalan, beliau berkata Malaysia sendiri berupaya menangani kes-kes selesema burung dan setakat ini tidak meminta bantuan luar.

Sebuah Bilik Gerakan Kebangsaan telah digerakkan dan ia boleh dihubungi menerusi 03-88886212/6213.