Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
BN timbang tanding PRK Sandakan, guna isu minyak sawit

PRK SANDAKAN | BN mempertimbangkan untuk bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) Sandakan ketika hari pencalonan tidak sampai seminggu, kata sumber kepada Malaysiakini.

Menurut sumber, pemimpin Umno Sabah sudah berjumpa dengan Presiden MCA Wee Ka Siong untuk berbincang berhubung calon yang mahu diletakkan di kerusi parlimen itu.

"Calon mungkin dari MCA atau calon langsung BN, seperti di PRk Cameron Highlands. Saya ingat ada tiga calon yang berpotensi, dua daripada mereka adalah peguam.

"Majlis Tertinggi Umno akan bermesyuarat pada 22 April pukul 3 petang, dan sebelah petang pula mesyuarat Majlis Tertinggi BN, bagi membincangkan lebih lanjut PRK itu," kata sumber.

Difahamkan, kedua-dua mesyuarat berkenaan akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur.

Sumber juga berkata, memandangkan Sandakan merupakan kawasan majoriti Cina, BN perlu meletakkan calon dari kaum Cina.

Sandakan mempunyai 51 peratus pengundi Cina. Pengundi bumiputera terdiri daripada 26 peratus, Melayu 16 peratus dan lain-lain etnik tujuh peratus.

Ditanya tentang peluang BN untuk menang di kubu kuat DAP itu, sumber berkata isu hara minyak sawit yang rendah ketika ini memberi peluang kepada pembangkang kerana ramai pengundi Cina di kawasan itu terlibat dalam industri berkenaan.

"Jangan lupa bahawa ramai orang Cina terlibat dengan perladangan sawit, jadi kita (pembangkang) ada peluang untuk menang," katanya.

Bagaimanapun, sumber BN yang lain tidak bersetuju, dengan menyatakan bahawa populariti mendiang Stephen Wong yang sebelum ini menyandang kerusi itu akan melangkaui isu minyak sawit, terutamanya sekiranya DAP mencalonkan anak perempuan Wong, Vivian pada PRK 11 Mei ini.

"Daripada maklumat yang kami terima, Stephen dianggap sebagai seorang yang 'kerja sampai mati' oleh penduduk setempat. Pada hari dia meninggal dunia, dia masih merancang untuk menghadiri beberapa majlis di Sandakan.

"Saya tak fikir isu minyak sawit akan memberi kelebihan kepada kita (pembangkang). Apalagi pembangkang di Sabah dalam keadaan kucar-kacir selepas ramai pemimpin Umno Sabah meninggalkan parti Dis lalu," kata sumber itu.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS